Suami isteri ditahan bawa wang tunai RM2.9 juta ke Singapura

LocalBusiness & Finance
28 Oct 2026 • 1:37 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Suami isteri ditahan bawa wang tunai RM2.9 juta ke Singapura

JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri warga Malaysia ditahan selepas dipercayai membawa wang tunai berjumlah hampir RM3 juta tanpa pengisytiharan ketika melalui pemeriksaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini semalam.

Wang tunai yang ditemukan dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard berwarna putih itu melibatkan RM1,971,697 serta Dolar Singapura (SGD) 300,000 (RM955,441.20).

Penahanan pasangan berusia 41 dan 42 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 11.40 pagi ketika kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan itu melalui zon pemeriksaan kereta menghala ke Woodlands, Singapura.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata, pemeriksaan lanjut dilakukan selepas pemandu kenderaan terbabit menunjukkan tingkah laku mencurigakan ketika disoal pegawai bertugas.

Menurutnya, pasangan itu kemudian diarahkan membuka ruang penyimpanan barang serta tempat duduk penumpang bagi membolehkan pemeriksaan dijalankan.

“Hasil pemeriksaan menemukan wang tunai dalam mata wang Ringgit Malaysia berjumlah RM1,971,697 dan SGD300,000 atau keseluruhan RM2,927,138.20.

“Kesemua wang itu disimpan di dalam tiga kotak, sebuah beg kertas dan sebuah beg galas berwarna hitam,”katanya pada sidang akhbar di AKPS, Bangunan Sultan Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata, pasangan terbabit bersama wang tunai serta kenderaan yang digunakan telah ditahan dan disita sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.

Nasaruddin berkata, perbuatan atau cubaan membawa masuk atau keluar wang tunai tanpa membuat pengisytiharan seperti yang ditetapkan merupakan kesalahan.

Katanya, kedua-dua suspek akan direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Peraturan 55(1)(b) Peraturan-Peraturan Kastam 2019.-KOSMO! ONLINE

The post Suami isteri ditahan bawa wang tunai RM2.9 juta ke Singapura appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved