
KIULU: Lebih 1,400 petani di Kiulu, dekat sini, berpeluang memperoleh akses lebih baik kepada 6,680 ekar tanah pertanian menerusi usaha menambah baik jalan ladang dan mengukuhkan sektor pertanian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata, akses jalan raya yang baik adalah kunci untuk memastikan petani mampu menggunakan tanah mereka sepenuhnya, sekali gus meningkatkan produktiviti.
“Sambil berusaha meningkatkan kemudahan, saya juga mahu melihat lebih ramai penduduk kampung membuka tanah mereka untuk bercucuk tanam sebagai sumber pendapatan mampan,” katanya pada majlis penutupan Kursus Pengenalan Vermikompos dan Cantuman Durian di sini, Jumaat lalu.
Kursus anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Negeri dengan kerjasama Pejabat Daerah Kecil Kiulu itu disertai lebih 30 orang termasuk golongan belia di Dewan Masyarakat Kiulu.
Joniston menambah, kemudahan infrastruktur sahaja tidak mencukupi dan kursus berkaitan pertanian akan dipergiatkan untuk melengkapkan petani dengan pengetahuan dan kemahiran yang tepat.
“Usaha ini akan dilakukan dengan sokongan dan kerjasama jabatan serta agensi berkaitan bagi memastikan petani menerima latihan dan bimbingan yang betul,” ujarnya.
Beliau menambah, perbincangan mengenai pengukuhan pembangunan pertanian Kiulu turut diadakan dengan pihak Pejabat Pertanian Daerah Tuaran dan KPLB.
Meskipun Kiulu mencipta nama dalam pelancongan luar bandar, Joniston berkata tumpuan lebih besar kini diberikan untuk mengembangkan peluang pertanian, termasuk tanaman bernilai tinggi.
“Kami juga mendapati tanaman vanila sebagai sumber pendapatan yang berpotensi, dan baru-baru ini, pusat khidmat saya menganjurkan lawatan yang disertai lebih 20 petani ke ladang tanaman vanila yang berjaya di Kimanis.
“Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyokong komuniti petani, 47 jalan pertanian telah dikenal pasti untuk kerja naik taraf dan pembinaan tahun ini; sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan daripada dana DUN Kiulu bagi tujuan penambahbaikan,” katanya.
Sehubungan itu, Joniston berharap infrastruktur dan latihan lebih baik akan menyokong petani serta mewujudkan peluang untuk pelancongan pertanian dengan meletakkan Kiulu sebagai model pembangunan ekonomi luar bandar.




