Pada minggu lepas, kami ada melaporkan bahawa Logitech telah memperkenalkan tetikus gaming terbaru mereka, iaitu Logitech G309 Lightspeed pada harga yang cukup mampu milik sekali. Baru-baru ini, Logitech Malaysia telah mengesahkan bahawa dua aksesori gaming, termasuklah tetikus tersebut dan juga papan kekunci Logitech G515 Lightspeed TKL sudahpun memasuki pasaran Malaysia.

Tetikus Logitech G309 Lightspeed tampil sebagai tetikus dengan enam butang yang boleh diprogram, dan menggunakan cip sensor HERO 25K yang hadir dengan sokongan untuk aksesori pengecasan nirwayar Logitech PowerPlay yang membolehkannya tidak memerlukan penggunaan bateri AA, yang memberikannya jangkahayat penggunaan selama 300 jam.

Ia juga menggunakan suis optikal-mekanikal hibrid yang menjanjikan ketikan yang cepat dan tepat kepada kehendak pengguna dan boleh dimanfaatkan tidak kira untuk tujuan gaming, riadah ataupun produktiviti.

Untuk papan kekunci Logitech G515 Lightspeed pula, papan kekunci ini hadir dengan rekaan bersaiz TKL (tenkeyless) yang padar, tetapi masih lagi hadir dengan kebanyakan fungsi-fungsi yang penting. Untuk anda yang mementingkan estetika meja mereka, papan kekunci ini hadir dengan rekaan dan juga penggunaan suis berprofil rendah untuk estetika minimalis.

Papan kekunci ini juga hadir dengan penambahan sistem peredam bunyi dan suis yang disalut pelincir untuk pengalaman menaip yang lebih lancar. Papan kekunci ini juga menampilkan teknologi Keycontrol yang membolehkan kekunci-kekunci dimanfaatkan dengan pelbagai pintasan dan aksi yang berbeza. Ciri ini boleh diakses melalui perisian Logitech G Hub digunakan untuk mengubahsuai pelbagai tetapan pada aksesori-aksesori Logitech.

Tetikus gaming Logitech G309 Lightspeed (RM349) dan papan kekunci gaming Logitech G515 Lightspeed TKL (RM699) sudahpun mula ditawarkan di kedai-kedai komputer pengedar aksesori Logitech tempatan.



