Logitech, sebuah jenama yang cukup terkenal untuk aksesori komputer mereka baru-baru ini telah memperkenalkan tetikus gaming terbaru mereka, iaitu Logitech G309 Lightspeed yang hadir bukan sahaja dengan sejumlah teknologi baru, tetapi juga harga jualan mampu milik.

Tetikus Logitech G309 Lightspeed ini hadir dengan enam butang yang boleh diubahsuai melalui perisian, dan tampil dengan sokongan untuk teknologi sambungan nirwayar LIGHTSPEED yang menjanjikan input yang mempunyai lengah masa yang rendah, memastikan pengalaman gaming anda adalah yang terbaik.

Selain daripada itu, tetikus ini juga tampil dengan sokongan untuk teknologi pengecasan dan bateri PowerPlay, yang mana bateri AA yang biasanya digunakan untuk menguasakan tetikus ini boleh digantikan dengan bateri PowerPlay untuk membolehkan pengecasan nirwayar menggunakan hab pengecasan Logitech PowerPlay yang boleh dibeli secara berasingan. Dengan satu bateri AA, Logitech mengatakan bahawa tetikus ini hadir dengan jumlah penggunaan selama 300 jam.
Seperti kebanyakan tetikus gaming mereka yang lain, Logitech G309 Lightspeed ini menggunakan cip sensor HERO 25K yang hadir dengan jangkamasa tindak balas serendah 1ms dan nilai sensitiviti setinggi 25,600DPI.

Ia juga menggunakan suis optikal-mekanikal LIGHTFORCE yang menjanjikan pengaktifan suis apabila pengguna mengetik butang-butang tetikus ini dengan pantas untuk kejituan mengetik yang terbaik.
Logitech G309 Lightspeed hadir di beberapa pasaran terpilih dengan tanda harga $79.99 sahaja. Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah Logitech akan membawa masuk tetikus gaming ini di pasaran tempatan.

