Aksi bak filem Reel Steel dalam dunia nyata

TechnologySports
13 Oct 2026 • 10:10 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Aksi bak filem Reel Steel dalam dunia nyata

JERITAN dan sorakan lebih 500 penonton menjadi pembakar semangat buat peserta pertandingan tinju robot humanoid, New Dawn MY anjuran Shadow Combat League (SCL).

Acara itu merupakan liga sukan tempur robot kawalan jauh manusia (teleoperated) yang pertama seumpamanya di rantau ini.

Lagaknya tidak ubah seperti babak aksi dalam filem Reel Steel yang diterbitkan pada 2011 dengan mempamerkan kehebatan Charlie Kenton lakonan Hugh Jackman sebagai bekas peninju mengawal robot Atom secara kawalan shadow mode.

Kini, aksi yang disaksikan dalam filem itu bukan lagi ‘dongeng’ Hollywood semata-mata. Sebaliknya, 14 peserta yang terdiri daripada atlet sukan tinju, bekas atlet karate kebangsaan, bekas pemain bola sepak kebangsaan, bekas pemain badminton negara, pempengaruh dan selebriti saling bertarung dalam merebut kemenangan.

Untuk makluman, SCL merupakan platform sukan dan hiburan diasaskan di Malaysia serta dibangunkan dalam ekosistem LINEARK yang bertindak membina perisian yang membolehkan robot bergerak dengan stabil.

Melalui ekosistem berkenaan, data pergerakan fizikal manusia yang sangat kompleks dikumpul, diproses dan ditukar menjadi kod arahan sistem komputer, sekali gus membolehkan robot humanoid menyeimbangkan badan, bertindak balas serta menyerap impak pukulan.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, LINEARK dan Shadow Combat League, Dr. Ian Tan Wei Lun, penganjuran pertandingan tersebut secara tidak langsung menjadi perantara antara teknologi dan manusia dalam mengharungi cabaran digital pada masa depan.

Robot jenis Unitree G1 digunakan dalam pertandingan tersebut dengan peserta mengawal pergerakan robot berkenaan secara langsung bagi meneruskan aksi pertarungan di dalam arena.

“Saya percaya masyarakat sekarang masih takut dengan robot dan mereka akan melarikan diri sekira berdepan dengan robot. Disebabkan itu, saya menjadikan medium hiburan ini sebagai jambatan antara manusia dan robot.

“Begitu juga apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) diperkenalkan. Ia membuatkan ramai berasa takut dan tergugat kerana AI akan mengambil alih kerja manusia,” katanya ketika ditemu bual K-Tekno baru-baru ini.

Dalam pertarungan tersebut, peserta terlibat perlu bertindak sebagai jurupandu atau pilot. Mereka perlu memakai set kepala realiti maya (VR) semasa bertarung serta alat kawalan untuk menggerakkan robot.

Dengan menggunakan teknologi sistem kawalan jauh masa nyata (real time teleoperation) berasaskan pergerakan fizikal manusia itu, robot boleh membuat gerakan sama seperti dilakukan oleh jurupandu.

Salah seorang peserta pertandingan tersebut, Aiman Abu Bakar berkata, dia berasa teruja apabila diberi peluang untuk merasai pengalaman mengendalikan robot dalam pertarungan tersebut.

Untuk makluman, Aiman merupakan petinju profesional negara yang baru melakar kejayaan terbesar dalam kariernya apabila merangkul tali pinggang kejuaraan WBC Asia Super-Featherweight pada April lalu.

Katanya, pengalaman mengendalikan robot itu membuktikan kemodenan sudah tersedia di depan mata.

Image from: Aksi bak filem Reel Steel dalam dunia nyata
Daniella teruja dapat membantu robotnya meraih kejayaan.

“Sejujurnya, saya sangat teruja dan gembira apabila mengetahui manusia boleh mengawal pergerakan robot dengan menggunakan gajet khas sehingga mampu bergerak secara masa nyata.

“Ini menandakan, kita sudah bersedia dengan teknologi masa depan dan menjadikan sukan tinju robot sebagai salah satu acara rasmi tahunan pada masa akan datang,” ujarnya.

Biarpun teruja meraikan kemodenan, namun Aiman tidak menafikan dia berasa takut sekira kerjaya sebagai atlet peninju akan tergugat pada masa akan datang.

“Saya agak takut kalau perlawanan robot ini semakin mendapat perhatian, maka suatu hari nanti acara sukan manusia ini sudah tidak mendapat sambutan lagi.

“Bagaimanapun, saya tetap yakin teknologi ini dapat memberi wajah baharu kepada industri sukan digital, selain penggunaan robot mampu memudahkan rutin harian manusia pada masa depan,” katanya.

Turut berpeluang menyertai pertandingan tersebut ialah pelakon Daniella Sya yang teruja apabila diberi kesempatan mengawal robot dalam gelanggang perlawanan tinju.

“Saya mempunyai latar belakang silat Gayong, jadi saya cuba terapkan sedikit teknik seni mempertahankan diri itu dalam perlawanan.

“Sejujurnya, saya agak teruja ketika menggunakan alat kawalan dan menggerakkan robot secara masa nyata. Apa pergerakan yang saya buat, robot akan ikut dan ia sesuatu yang baharu buat saya.

“Pada pandangan saya, penggunaan robot ini sangat membantu manusia pada masa depan. Ini kerana, saya sendiri menggunakan robot vakum untuk membersihkan rumah.

“Sekarang, kita melihat robot ini sudah ada yang mampu membuat kerja rumah. Jadi mungkin pada masa hadapan, ia dapat menjadi pembantu untuk menguruskan kerja-kerja rumah,” katanya.

Tambah pelakon filem Abang Long Fadil 3 itu, pengalaman mengawal robot dalam perlawanan tersebut memberinya peluang beraksi seperti dalam filem Reel Steel.

Biarpun mengambil masa seketika sebelum dapat membiasakan diri, namun Daniella optimis sukan tinju robot itu akan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Menariknya, pertandingan itu turut menjadi platform untuk pengenalan robot humanoid kepada masyarakat di negara ini.

Menurut Wei Lun, pihaknya merancang untuk menjadikan robot sebagai ‘pekerja’ di pusat beli-belah, khususnya untuk bahagian keselamatan.

Wei Lun menegaskan, langkah tersebut bukan bertujuan menutup periuk nasi manusia.

Sebaliknya, teknologi yang ada pada robot dipercayai dapat membantu mengurangkan kesilapan dan meningkatkan kawalan keselamatan.

“Kami masih dalam peringkat perbincangan dengan sebuah pusat beli-belah untuk menggunakan robot sebagai pengawal keselamatan untuk membuat rondaan dan mengimbas wajah setiap pengunjung yang datang.

“Tujuan kami bukan untuk menggantikan pekerja, tetapi robot ini dapat mengurangkan kesilapan yang dilakukan oleh manusia dan kekangan tenaga.

“Lagipun, pengawal keselamatan mempunyai jadual kerja yang perlu ditukar setiap tiga atau enam bulan.

“Bahkan, jadual kerja shif mungkin boleh menyebabkan ada perkara yang terlepas pandang oleh pengawal keselamatan,” katanya.

The post Aksi bak filem Reel Steel dalam dunia nyata appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved