
SEJAK berusia dua tahun, Milla Brown sudah mengenali laut dan papan luncur, malah dia tidak pernah membayangkan hidupnya tanpa dua elemen ersebut.
Kini pada usia 18 tahun, remaja dari Sydney, Australia itu mula mencuri perhatian selepas aksinya ‘melompat’ keluar dari ombak sebelum berpusing dan mendarat di permukaan air.
Aksi hebat itu meletakkan namanya sebaris dengan beberapa peluncur air wanita terbaik dunia.
Milla dibesarkan di kawasan Northern Beaches, Sydney dan mula aktif dalam aktiviti luncur air (surfing) sejak kecil kerana pengaruh bapa serta kakaknya yang turut bermain sukan itu.
Minat tersebut kemudian berkembang menjadi sesuatu yang lebih serius apabila dia mula menyertai pertandingan pada usia 14 tahun.
Menariknya, luncur air bukanlah sukan pertama yang dikuasai oleh Milla.
Sebelum menjadi peluncur, dia terlebih dahulu aktif dalam sukan papan selaju dan pernah terpilih menyertai skuad pembangunan Olimpik Australia.
Milla akhirnya memilih sukan luncur air kerana setiap ombak menawarkan cabaran yang berbeza kepadanya.
“Saya adalah pemain papan selaju sebelum menjadi peluncur air. Saya pernah dipilih menyertai pasukan pembangunan Olimpik Australia, tetapi kemudian memutuskan untuk beralih kepada luncur air.
“Dalam sukan ini, peluncur perlu menghadapi ombak yang berbeza. Ia berbeza dengan papan selaju yang dilakukan di taman luncur dengan keadaan hampir sama.
“Oleh itu, luncur air membuatkan saya lebih teruja,” katanya.
Keistimewaan Milla terletak pada keberaniannya melompat keluar dari ombak sebelum berpusing dan mendarat semula di permukaan air.

Dia sendiri mengakui, generasi peluncur wanita pada hari ini banyak dipengaruhi oleh peluncur sebaya seperti Sierra Kerr dan Caity Simmers.
Pada masa sama, Milla tidak terburu-buru untuk menentukan masa depannya dalam arena profesional kerana masih muda.
Dia masih meneruskan pembelajaran di rumah bagi membolehkannya mengimbangi jadual latihan, pertandingan dan perjalanan ke luar negara.
Bagi remaja yang menghabiskan sebahagian besar hidupnya di laut, luncur air bukan sekadar pertandingan atau usaha mengejar kemenangan.
Ia merupakan hobi yang berkembang menjadi sebahagian daripada kehidupan, sambil memberinya ruang untuk mencuba sesuatu yang baharu setiap kali berdepan ombak.
Kemampuan Milla meluncur di atas ombak semakin mendapat perhatian selepas dua aksiya dimasukkan dalam video kompilasi gelombang terbaik oleh Stab pada tahun 2024.
Pencapaian Milla semakin menyerlah apabila dia muncul Juara Kebangsaan Australia bagi kategori bawah 18 tahun pada tahun lalu, sekali gus meraih tempat dalam pasukan kebangsaan Australia.
Dalam aksi final menentang lawan, Isla Huppatz, Milla hampir menyangka peluangnya untuk menang terlepas selepas lawannya melakukan aksi air reverse yang menghasilkan mata tinggi.
Namun, Milla tidak berputus asa dan terus mencari peluang menerusi ombak seterusnya.
Dalam baki tiga minit, dia melompat keluar dari ombak sebelum berpusing dan mendarat semula di permukaannya, sekali gus meraih 8.45 mata dan membantunya mengatasi Huppatz.
“Saya hampir membiarkan Isla mendapatkan peluang untuk menang. Dia melakukan aksi air reverse yang sangat baik dan saya fikir saya sudah melakukan kesilapan besar.
“Kemudian, saya melihat satu lagi ombak dan melakukan aksi melompat untuk mendapat mata tersebut. Saya sangat gembira,” katanya.
The post Aksi berani Milla ‘menjinak’ ombak appeared first on Kosmo Online.
