
KOTA BHARU – Aksi perlawanan persahabatan skuad emas bekas pemain Kelantan atau Ex-Treble Kelantan menentang Ex Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan di Pahang pada 7 November ini merupakan momen terbaik yang disajikan kepada peminat untuk mengimbau kegemilangan Liga Malaysia.
Ex-Treble Kelantan sebelum ini menewaskan Ex Pahang dengan jaringan 2-1 pada perlawanan akhir persahabatan amal Duo Cup 2025 pada Mei tahun lalu di Stadium Muhammad IV di sini.
Pengurus Ex-Treble Kelantan, Azman Ibrahim berkata, meskipun hanya aksi persahabatan, perlawanan tersebut penting sebagai acara pertemuan semua antara kedua-dua pasukan.
Katanya, kedua-dua pasukan yang terlibat dalam perlawanan itu dibarisi pemain-pemain yang berpengalaman dan mempunyai kejayaan bersama skuad masing-masing
“Perlawanan ini merupakan salah satu usaha untuk mengembalikan kemeriahan perlawanan bola sepak antara dua negeri terutamanya Pahang dan Kelantan.
“Dalam suasana bola sepak negara semakin suram, kita mahu kembalikan kenangan pasukan The Red Warriors dan Tok Gajah apabila peminat kedua-dua pasukan ini satu ketika dahulu sanggup hadir membanjiri stadium,” katanya pada sidang akhbar Perlawanan Ex-Treble Kelantan dan Ex Pahang di sini semalam.
Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Puc Sport Sdn. Bhd., Mohd. Shukry Pauzi menyampaikan tajaan RM50,000 kepada Ex-Treble Kelantan dan memperkenalkan jersi yang akan dipakai pasukan tersebut dalam perlawanan persahabatan tersebut.
Pasukan Ex-Treble Kelantan diketuai oleh Badhri Radzi atau Piya, Mohd. Nor Farhan Muhammad, Mohd. Daudsu Jamaluddin, Muhammad Ramzul Zahini Adenan dan bekas pemain bintang yang lain.
Pasukan yang memenangi perlawanan itu bakal membawa pulang wang tunai RM20,000 dan sebuah piala.
Mengulas lanjut, Azman memberitahu, perlawanan tersebut bukan bermaksud kedua-dua skuad tidak boleh ‘move on’ daripada kejayaan lampau, sebaliknya ia merupakan platfrom terbaik untuk memeriahkan suasana bola sepak negara lebih-lebih lagi Pahang FA ketika ini sudah tidak mempunyai pasukan.
Sementara itu, Badhri Radzi berkata, beliau yakin Ex-Treble Kelantan mampu meneruskan momentum kemenangan terhadap Ex Pahang dalam perlawanan pada bulan depan.
Katanya, kehadiran peminat bola sepak Kelantan ke Stadium Darul Makmur sangat dituntut untuk memeriahkan lagi perlawanan tersebut.
“Ex Pahang memaklumkan seramai 25,000 penonton hadir, namun saya pula yakin jumlah itu boleh meningkat kepada 30,000 orang. Rakyat Kelantan ramai yang merantau di sana (Pahang) dan sudah pasti mereka hadir untuk memberi sokongan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Aksi Ex-Treble Kelantan, Ex Pahang imbau kegemilangan Liga Malaysia appeared first on Kosmo Online.





