
SHAH ALAM - Ahli kumpulan The 1975 yang membuat aksi kurang sopan dalam konsert yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, pada Jumaat telah meninggalkan Malaysia pada pagi Sabtu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, walau bagaimanapun penganjur konsert terbabit akan diminta untuk bertanggungjawab atas tindakan aksi kurang sopan penyanyi kumpulan muzik itu.
"Dari segi tindakan terhadap kumpulan itu, tidak banyak yang boleh dilakukan, namun kita akan meminta penganjur bertanggungjawab atas tindakan mereka (kumpulan The 1975)," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Sebelum ini, media melaporkan persembahan The 1975 di Good Vibes Festival 2023 dihentikan selepas vokalisnya Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.
Penyanyi tersebut didakwa memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Hussein dilaporkan berkata, tiga laporan polis diterima berkaitan perlakukan kurang sopan penyanyi kumpulan tersebut.
Pihak terlibat akan dipanggil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.
ARTIKEL BERKAITAN: Aksi biadab The 1975 undang kemarahan orang ramai


