Aksi lincah 68 gimnas muda curi perhatian

25 Apr 2025 • 3:10 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Jozie John

Kota Kinabalu: Aksi lincah 68 gimnas muda menjadi tumpuan pada Kejohanan Gimnastik Artistik Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kota Kinabalu 2025 di Kompleks Sukan Likas.Acara itu menonjolkan potensi luar biasa atlet remaja daerah.

Sepanjang dua hari penuh aksi, Dewan Gimnastik dipenuhi dengan sorakan dan semangat setiakawan yang kuat apabila gimnas daripada 23 sekolah berentap dengan penuh semangat untuk merebut tempat yang diidamkan dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS).

Anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Stella Maris, kejohanan yang berlangsung pada 21 dan 22 April lalu itu dibahagikan kepada empat kategori iaitu Lelaki Bawah 12 Tahun, Lelaki B-15, Perempuan B-12 dan Perempuan B-15.

Acara yang dipertandingkan termasuk palang bertingkat, batang titian, senaman lantai, melombol, kekuda berpelana dan palang sejajar.

Dalam ucapan perasmian, guru besar SK Stella Maris James Johnny merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan acara tersebut termasuk guru, jurulatih, hakim dan ibu bapa.

“Kejohanan MSSD tahun ini cukup sengit. Setiap gimnas memberikan persembahan terbaik mereka, dan jelas menunjukkan potensi besar dalam kalangan atlet muda di Kota Kinabalu,” katanya.

Seramai 24 gimnas dipilih mewakili daerah itu pada kejohanan (MSSS) bulan depan. Selain itu, 12 gimnas dari kategori B-18 tahun telah layak secara automatik ke pertandingan itu.

James juga menekankan kepentingan latihan yang konsisten dan peranan jurulatih dalam membentuk atlet yang bukan sahaja berkemahiran tetapi juga berdisiplin dan fokus untuk meningkatkan prestasi mereka.

“Keputusan yang kita lihat hari ini adalah hasil latihan berterusan, dedikasi, dan pemilihan atlet yang teliti oleh jurulatih kami. Sokongan ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam pembangunan atlet muda ini,” katanya.

Kejohanan itu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG), Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

James berkata, matlamat utama kejohanan itu adalah untuk mengenal pasti bakat muda dan mencetus minat dalam gimnastik di peringkat sekolah.

“Dengan menyertai kejohanan ini, pelajar bukan sahaja mengembangkan kebolehan olahraga mereka tetapi juga menyumbang kepada markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) mereka. Paling penting, ia memupuk semangat kesukanan dalam kalangan pelajar,” tambahnya.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu (sektor pembangunan pelajar), Bunsu Gaga, yang memuji dedikasi dan semangat yang ditunjukkan oleh peserta dan penganjur.

View Original Article