
KUALA LUMPUR – Kadangkala, kebahagiaan tidak memerlukan perkara besar. Cukup dengan satu senyuman, satu tindakan ikhlas dan sekecil-kecil pemberian, ia mampu menyentuh hati ramai. Itulah yang berlaku dalam satu perkongsian tular di media sosial, apabila kebaikan seorang insan berjaya mencerminkan nilai sebenar masyarakat Malaysia yang penuh kasih dan hormat-menghormati.
Tular di media sosial satu perkongsian menyentuh hati yang dikongsikan oleh pengguna Threads, @wantedwatanabe, menerusi ruangan ThisIsMalaysian, memaparkan momen ringkas namun penuh makna melibatkan seorang lelaki dikenali sebagai Uncle Jay Shankar bersama keluarganya.
Menerusi perkongsian tersebut, pemilik akaun menulis kapsyen bersahaja berbunyi, “Assalamualaikum cik” diikuti dengan ayat spontan “Haaa saya tak boleh jawab” yang mencetuskan gelak tawa netizen.
Menurut perkongsian itu, sekumpulan kanak-kanak sekolah yang sedang melakukan aktiviti brisk walk pada waktu pagi dilihat singgah mengambil air mineral yang diagihkan oleh Uncle Jay Shankar. Walaupun hanya air mineral, tindakan kecil itu nyata memberi kegembiraan besar buat anak-anak berkenaan.
Beratur Tertib, Nilai Murni Yang Membuat Netizen Tersenyum
Menarik perhatian ramai, kanak-kanak tersebut dilihat beratur dengan tertib tanpa berebut, mencerminkan nilai disiplin dan adab yang sudah sebati dalam budaya masyarakat Malaysia sejak kecil.
Rata-rata netizen membanjiri ruangan komen dengan pujian terhadap sikap Uncle Jay Shankar serta keindahan nilai masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Antara komen yang ditinggalkan termasuk, “You are slayyyy uncle”, “Dah jadi checkpoint dah ni” dan “Betul la kita orang Malaysia memang diajar beratur dari sekolah”.
Tidak kurang juga yang menyatakan rasa terharu melihat kanak-kanak begitu gembira hanya dengan sebotol air mineral, selain mengucapkan terima kasih kepada Uncle Jay kerana menceriakan pagi mereka.
Perkongsian ini turut dianggap sebagai gambaran sebenar semangat harmoni dan perpaduan rakyat Malaysia, di mana kebaikan kecil mampu memberi impak besar serta mengeratkan hubungan tanpa mengira bangsa dan latar belakang.
Netizen berharap lebih ramai individu tampil melakukan kebaikan seperti ini, sekali gus membentuk sebuah Malaysia yang aman, penyayang dan saling menghormati. – The Malaysian Update
The post Aksi Uncle Jay Shankar Pagi-Pagi Raih Pujian, Netizen Bangga Dengan Sikap “This Is Malaysian” appeared first on The Malaysian Update.
