Akta Dana Kesihatan Nasional dijangka digubal 2029, tangani peningkatan kos rawatan

LocalHealth & Fitness
16 Nov 2026 • 1:19 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Akta Dana Kesihatan Nasional dijangka digubal 2029, tangani peningkatan kos rawatan

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan penggubalan Akta Dana Kesihatan Nasional (DKN) menjelang 2029 sebagai langkah memperkukuh sistem pembiayaan kesihatan negara dan merealisasikan liputan kesihatan sejagat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata DKN merupakan sebahagian daripada transformasi struktur pembiayaan kesihatan yang sedang dilaksanakan, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan menggabungkan kekuatan sistem pembiayaan berasaskan cukai dan insurans sosial.

“Pewujudan DKN merupakan perubahan struktural yang besar, melibatkan penggubalan undang-undang baharu, hubungan persekutuan-negeri dan berkemungkinan turut menyinggung hal terkait perlembagaan.

“Oleh itu, akta ini perlu dilaksanakan dengan cermat, teliti dan berhemat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) yang ingin tahu tempoh masa kerajaan akan memperkenalkan kerangka pembiayaan kesihatan nasional yang mampan bagi mengurangkan kebergantungan sistem kesihatan awam pada peruntukan tahunan serta menangani peningkatan kos rawatan.

Dzulkefly berkata DKN yang sedang dirangka akan menggabungkan pembiayaan melalui cukai am bagi menjamin liputan kesihatan menyeluruh kepada rakyat, selain mengambil pendekatan model Bismarck yang berasaskan insurans sosial melalui dana kesihatan khusus yang diurus secara berasingan.

Beliau berkata pendekatan hibrid itu bertujuan membentuk kerangka pembiayaan kesihatan nasional yang mampan dan bersesuaian dengan konteks Malaysia.

Pada masa sama, katanya, KKM telah memulakan penelitian terhadap aspek pembiayaan, pemodalan, pakej manfaat, tadbir urus serta asas perundangan DKN dengan mengambil kira amalan terbaik antarabangsa bagi tujuan itu.

“Usaha ini turut melibatkan penyelarasan dasar merentasi whole of government bagi kita menggubal satu DKN yang menyeluruh dan realistik,” katanya sambil menambah pelaksanaan DKN akan menjadi antara usaha penting kerajaan untuk memastikan pembiayaan kesihatan negara dapat menyokong pencapaian liputan kesihatan sejagat.

Sementara itu, Dzulkefly berkata kerajaan perlu menangani cabaran operasi semasa tanpa mengabaikan reformasi jangka panjang sistem kesihatan.

Beliau berkata langkah penyumberluaran perkhidmatan hospital kepada sektor swasta juga dapat mengurangkan tempoh menunggu pesakit, khususnya bagi prosedur elektif dalam bidang kardiologi dan nefrologi.

Beliau menjawab soalan tambahan Zulkafperi yang membangkitkan kebimbangan bahawa ketiadaan tarikh muktamad penubuhan DKN boleh menyebabkan hospital awam terus dibebani dengan defisit peruntukan tahunan dan kesesakan pesakit.

Menjawab soalan berasingan tentang penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pemakanan, Dzulkefly berkata KKM menyasarkan penyediaan draf RUU berkenaan disiapkan pada 2027 sebagai persediaan untuk dibentangkan di Parlimen, termasuk cadangan peruntukan bagi mengawal selia pengiklanan dan promosi makanan tidak sihat.

Beliau berkata cadangan kawalan itu meliputi semua bentuk komunikasi pemasaran termasuk bahan bercetak dan media digital, sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan menggalakkan amalan pemakanan sihat dalam kalangan rakyat.

Perundangan baharu itu, menurutnya, lebih menekankan aspek pendidikan, pembudayaan amalan pemakanan sihat dan penyediaan persekitaran yang menyokong pemakanan sihat, berbeza dengan Akta Makanan 1983 yang memberikan tumpuan kepada kawal selia keselamatan, kualiti, komposisi serta pelabelan produk makanan.

“Antara skop utama ialah perlindungan dan sokongan pemakanan bayi dan kanak-kanak, kawalan pemasaran makanan tidak sihat serta pelaksanaan pemakanan sihat di institusi dan penyediaan persekitaran yang menyokong pilihan makanan lebih sihat,” katanya menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai perkembangan penggubalan RUU Pemakanan termasuk garis masa pelaksanaan dan skop utamanya.

-- BERNAMA

TAG: Dewan Rakyat, Dzulkefly Ahmad, Dana Kesihatan Nasional, RUU, pemakanan

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved