amree23/10/2026 - 10:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Okt – Belanjawan 2027 masih belum menangani tekanan kos sara hidup secara menyeluruh, khususnya bagi golongan berpendapatan sederhana (M40), apabila bantuan jangka pendek yang diumumkan dilihat tidak cukup mengimbangi perbelanjaan berulang isi rumah.
Sebuah badan pemikir bebas, Social & Economic Research Initiative (SERI) berpandangan, kerajaan perlu memperkukuh pelaburan dalam isu penjagaan kesihatan, kanak-kanak, dan warga emas, selain menyediakan pembiayaan lebih jelas bagi program berkaitan tenaga dan iklim.
Menurutnya dalam kenyataan, langkah pelepasan cukai dan bantuan tunai tertentu hanya menawarkan perlindungan secara terhad terhadap beban kos perumahan, penjagaan anak, pendidikan, kesihatan dan pengangkutan yang masih lagi terus ditanggung sebahagian besar isi rumah.
"Dua pembayaran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada setiap orang dewasa yang layak hanya berjumlah RM200 setahun, sekali gus menimbulkan kebimbangan golongan M40 terus terperangkap antara kelayakan bantuan bersasar dengan manfaat pelepasan cukai," katanya.
SERI turut menekankan bahawa peruntukan penjagaan kanak-kanak dilihat sebagai masih belum mencukupi meskipun Belanjawan 2027 menyediakan RM100 juta untuk melatih seramai 6,000 pengasuh serta sejumlah RM20 juta bagi pusat jagaan kanak-kanak di bangunan kerajaan.
Badan pemikir itu berpandangan, langkah berkenaan perlu dilengkapi kemudahan penjagaan anak pada harga berpatutan, program kembali bekerja yang kukuh serta pengiktirafan terhadap kerja penjagaan tidak berbayar bagi membantu keluarga mengimbangi tanggungjawab pekerjaan.

Bagaimanapun ujarnya lagi, bagi penjagaan warga emas, ia mengalu-alukan pengurangan cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan penjagaan warga emas daripada 8% kepada 6%, selain kenaikan elaun bagi individu terlantar daripada RM500 kepada RM600.
"Pelaburan dalam aspek perkhidmatan penjagaan dan tenaga kerja yang berkaitan namun masih perlu dipertingkatkan kerajaan bagi memenuhi keperluan penduduk semakin menua di Malaysia," tambah SERI.
Peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) naik 2.58% kepada RM47.7 bilion, lebih perlahan berbanding 2.8% di bawah Belanjawan 2026. Justeru kerajaan digesa menetapkan hala tuju jelas untuk meningkatkan perbelanjaan kesihatan kepada 5% daripada jumlah peruntukan.
Ia turut mencadangkan kenaikan 5% cukai tembakau bagi menyokong pembiayaan kesihatan awam, selain meminta penjelasan sama ada rebat peralatan elektrik Nur Madani menggantikan program Nur@Petra serta sama ada pengguna komersial dan industri masih layak menerima manfaat.
Bagi pembiayaan hijau, SERI meminta kerajaan menjelaskan sama ada RM1 bilion untuk projek hijau merupakan dana tambahan atau sebahagian daripada Dana Iklim bernilai RM2 bilion yang diumumkan sebelum ini oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).
Maklumat mengenai kelayakan program, aturan pembiayaan dan kemajuan pelaksanaan juga perlu didedahkan dengan lebih terperinci. Ia turut mengalu-alukan pelantikan tetap lebih 9,000 doktor kontrak serta langkah menyokong kelangsungan golongan muda.
Secara keseluruhan, SERI menegaskan Belanjawan 2027 perlu melangkaui bantuan segera dengan membina sistem penjagaan dan perlindungan sosial yang lebih mampan bagi mengurangkan beban isi rumah dalam jangka panjang. - DagangNews.com






