
PETALING JAYA: Pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (Akta 869) menjadi perkembangan penting dalam usaha memperkukuh kebebasan institusi Parlimen serta mematangkan demokrasi berparlimen negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sokongan semua pihak termasuk pembangkang amat penting bagi menjayakan reformasi institusi berkenaan dan memperkasakan fungsi badan perundangan negara.
Katanya, reformasi itu bukan sekadar berkaitan kebebasan dan bidang kuasa Parlimen, malah merangkumi usaha meningkatkan profesionalisme warga Parlimen, mutu perbahasan serta adab ketika berbeza pandangan.
“Saya menghargai komitmen dan kerjasama semua pihak, termasuk kepimpinan Dewan Negara dan Dewan Rakyat, pihak Kerajaan, Bahagian Undang-Undang serta Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang yang bersama-sama memberikan dukungan bagi menjayakan reformasi ini.
“Reformasi ini bukan sekadar soal kebebasan dan bidang kuasa, tetapi juga tanggungjawab untuk meningkatkan profesionalisme warga Parlimen, mutu perbahasan dan adab dalam berbeza pandangan,” katanya.
Akta 869 bersama pindaan berkaitan Perlembagaan Persekutuan berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penguatkuasaan akta itu merupakan pencapaian signifikan dalam agenda reformasi institusi kerajaan serta detik bersejarah buat Parlimen.
Katanya, langkah itu dilaksanakan selepas 34 tahun Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 (Akta 394) dimansuhkan menerusi Akta Perlembagaan (Pindaan) 1992 (Akta A837) yang berkuat kuasa pada 20 November 1992.
Anwar berkata, kebebasan yang diperkukuh menerusi akta baharu itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak demi kepentingan rakyat dan negara.
“Saya berharap kebebasan yang diperkukuh ini dimanfaatkan sebaiknya, dengan kerjasama semua pihak, demi memastikan Parlimen terus berfungsi sebagai institusi demokrasi yang matang, berwibawa dan diyakini rakyat,” katanya. –UTUSAN
The post Akta Perkhidmatan Parlimen perkukuh reformasi institusi appeared first on Utusan Malaysia.






