Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 bukti janji ditunaikan – Anwar

LocalPolitics
14 Oct 2026 • 3:45 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 bukti janji ditunaikan – Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 sebagai langkah penting Kerajaan Madani dalam menunaikan janji reformasi institusi kepada rakyat, termasuk mengehadkan kuasa yang selama ini berada di bawah kerajaan dan Ketua Majlis.

Beliau berkata, langkah itu merupakan antara tonggak penting agenda reformasi negara yang mencerminkan kesediaan kerajaan membawa perubahan bagi memperkukuh kebebasan institusi Parlimen dan mematangkan sistem Demokrasi Berparlimen.

“Saya anggap perubahan ini dan Akta Perkhidmatan Parlimen ini penting kerana ia, saya tegaskan memaknai erti Demokrasi Berparlimen dan kematangan sistem demokrasi.

“Jadi inilah salah satu langkah penting yang saya anggap sebagai tonggak dalam reformasi negara Madani ini iaitu melaksanakan, menunaikan janji kita kepada rakyat bahawa Akta Perkhidmatan Parlimen diperkenal, diluluskan dan membatasi kuasa yang sedia ada dan lazim ada pada kerajaan dan terutamanya Ketua Majlis,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peralihan Pentadbiran dan Reformasi Institusi Parlimen Malaysia sempena pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 di Bangunan Parlimen hari ini.

Mengimbas sejarah pentadbiran Parlimen, Anwar berkata, usaha memperkukuh kebebasan institusi itu telah melalui perjalanan panjang sejak pengenalan undang-undang berkaitan pada 1960-an, sebelum dimansuhkan pada 1992.

Katanya, pengembalian Akta Perkhidmatan Parlimen mencerminkan komitmen untuk meneruskan proses pematangan Demokrasi Berparlimen, yang kejayaannya turut bergantung kepada kewibawaan kepimpinan kedua-dua Dewan serta kesediaan Ahli Parlimen menyokong pembaharuan berkenaan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berharap kebebasan dan bidang kuasa baharu yang diberikan kepada Parlimen dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan keupayaan serta profesionalisme warga institusi berkenaan, selain mempertingkatkan mutu dan adab perbahasan.

“Tentunya diharapkan dengan kebebasan dan bidang kuasa Parlimen untuk mengangkat keupayaan stafnya sendiri dan tahap profesionalismenya, kita juga mengharapkan suatu peningkatan mutu perbahasan dan juga adab dalam perbahasan sesuai dengan bidang kuasa yang baharu.

“Usaha itu memerlukan kerjasama semua pihak termasuk anggota pentadbiran kerajaan, Ahli Parlimen penyokong kerajaan dan pembangkang…kebebasan yang diberikan perlu dilaksanakan dengan memahami batas serta tanggungjawab dalam sistem demokrasi,” katanya. – Bernama

The post Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 bukti janji ditunaikan – Anwar appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved