
PAPAR: Ketelusan Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah perlu diragui kerana jelas bersifat retorik demi kepentingan politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN17).
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, situasi itu dapat dilihat semasa Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal hanya ‘membisu’ semasa penggubalan Akta Laut Wilayah pada tahun 2012 lalu.
Katanya, Rang Undang-Undang (RUU) Laut Wilayah telah menjadi akta parlimen berkuatkuasa pada 22 Jun 2012 yang menetapkan had hak dan kuasa sempadan maritim Sabah kepada hanya jarak sehingga 3 batu nautika.
Menurutnya, penggubalan itu sekali gus telah mengubah sempadan asal maritim wilayah ini sebagaimana yang termaktub dalam The North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council, 1954.
“Namun berlainan semasa di parlimen pada 22 Julai tahun ini apabila beliau (Shafie) lantang bersuara bahawa sebarang perkara menyentuh perubahan negeri perlu dipersetujui Dun Sabah, sambil memetik peruntukan Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan.
“Tapi ironinya, di mana suara beliau (Shafie) semasa penggubalan Akta Laut Wilayah Tahun 2012 lalu semasa menjadi Ahli Parlimen dan Menteri Kanan Kabinet Persekutuan?.
“Mengapa tidak tegas membangkitkan peruntukan Artikel Perlembagaan Persekutuan yang sama bila Kerajaan Persekutuan pada ketika itu membentangkan RUU Laut Wilayah?.
“Adakah beliau bersuara di Parlimen dan Mesyuarat Jemaah Menteri pada tahun 2012 atau cuma berdiam diri dan kini melantunkan retorik bahawa mereka adalah pejuang tegar hak dan kepentingan Sabah,” soalnya dalam satu kenyataan, di sini.
Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, berbeza dengan Kerajaan GRS apabila Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dengan pendirian tegas bahawa Sabah tidak menerima Akta Laut Wilayah 2012.
Pada masa sama, katanya, Kerajaan Persekutuan juga telah bersetuju dan kemudiannya diluluskan di Parlimen bahawa Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 tidak terpakai di Sabah dan Sarawak.
“Ia hanya terpakai di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan saja, semua ini adalah hasil suara Kerajaan GRS-PH Plus dan Kerajaan GPS Sarawak, sekali gus membuktikan perjuangan kita ketika berkuasa.
“Selama ini mereka (Warisan) telah membina persepsi tanpa bukti sahih bahawa Kerajaan GRS gagal memelihara hak khazanah alam, minyak dan gas Sabah, namun akhirnya kebenaran telah terbukti.
“Justeru, sekarang siapa yang terbukti tegas dan siapa yang terbukti gagal atau ‘cakap tidak serupa bikin’,” katanya.
