Kenapa Warisan setuju terima RM53.4 juta

LocalPolitics
13 Oct 2025 • 10:01 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PAPAR: Ketelusan Warisan memperjuangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dipersoalkan apabila Kabinet Sabah di bawah pentadbiran parti itu pada bersetuju dengan kadar Pemberian Khas Persekutuan berjumlah RM53.4 juta.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sepatutnya kerajaan Warisan ketika itu meminta semakan semula atau penambahan kerana jumlahnya yang tidak munasabah.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Warisan hanya bersetuju dengan kadar itu menerusi keputusan rasmi Kabinet Negeri di bawah mesyuarat diadakan pada 16 Oktober 2019.

Menurutnya, keputusan Kabinet Sabah di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal itu sebagaimana terkandung dalam Surat Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah kepada Kementerian Kewangan Malaysia bertarikh 18 Oktober 2019.

“Apakah asas persetujuan Kabinet Sabah di bawah Ketua Menteri Shafie Apdal ketika itu terhadap kadar pemberian khas RM53.4 juta dalam mesyuarat kabinet pada 16 Oktober 2018 lalu?.

“Kenapa perlu tunduk dan tidak menuntut kadar lebih munasabah sedangkan Presiden Warisan (Shafie) mendakwa mempunyai ‘pengaruh besar’ terhadap Perdana Menteri ketika itu (Tun Mahathir Mohamed).

“Ia sebagaimana beliau (Shafie) sebut (dalam satu ceramah sebelum ini) bahawa ‘saya telah tolong Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali,” katanya yang turut mempertikai kebenaran ‘pengaruh’ tersebut.

Beliau berkata demikian semasa sidang media sempena Program Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Limbahau yang turut dihadiri wakil rakyat Limbahau, Datuk Juil Nuatim, di sini, Ahad.

Mengulas lanjut, Armizan turut mempersoalkan peranan tiga pemimpin Warisan yang dilantik sebagai menteri penuh dalam kerajaan persekutuan yang turut akur semasa kadar khas itu diputuskan di peringkat menteri kabinet pusat.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, sepatutnya ketiga-tiga pemimpin itu termasuk dua lagi pemimpin Warisan yang dilantik sebagai timbalan menteri persekutuan tidak ‘berundur’ dalam memperjuangkan hak rakyat dan Sabah pada masa itu.

“Sebaliknya, Warisan yang mempunyai tiga menteri penuh dan dua timbalan menteri persekutuan pada masa itu semuanya perlu ‘chicken out’ dalam menuntut hak yang cukup penting untuk Sabah.

“Malah sebelumnya, mereka mencanangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal melaksanakan MA63 apabila Sabah sejak tahun 1973 hingga 2018 hanya menerima Pemberian Khas berjumlah RM26.7 juta.

“Namun, Warisan tunduk dengan tawaran Kerajaan Persekutuan masa itu hanya dengan semakan kenaikan berjumlah RM53.4 juta sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan Persekutuan 2020 yang dibentangkan Oktober 2019,” tegasnyaBeliau berkata, berbeza dengan Kerajaan GRS pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor yang sebaik diangkat sebagai Ketua Menteri telah membuat rundingan semula dengan menulis surat kepada Kementerian Kewangan (MoF).

Katanya, ia bagi menarik semula kadar RM53.4 juta yang telah dipersetujui kerajaan Warisan sebelum ini dan hasil rundingan itu telah berjaya menaikkan kadar kepada RM125.6 juta pada tahun 2022 lalu.

Menurutnya, rundingan semula turut dibuat apabila terbentuk Kerajaan Madani di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada penghujung tahun 2022 lalu hingga kadar itu dinaikkan kepada RM300 juta pada 2023.

“Pada 2024 kadar pemberian khas ini dinaikkan lagi kepada RM306 juta, seterusnya RM600 juta bermula tahun ini, hasil hubungan baik kerajaan negeri dan persekutuan termasuk komitmen tinggi Perdana Menteri (Anwar).

“Kadar ini juga adalah pengaturan interim dan tidak prejudis kepada hak Sabah untuk terus menuntut formula 40 peratus yang sentiasa akan kita laksanakan menerusi hubungan baik dan muafakat dengan kerajaan persekutuan,” katanya.

Sehubungan itu Armizan menegaskan kewajaran slogan terbaru Warisan iaitu  ‘Selamatkan Sabah’ atau rakyat perlu ‘Selamatkan Sabah Daripada Warisan’ susulan tindakan parti itu sebelum ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa usaha perjuangan hak Sabah dalam MA63 khususnya tuntutan 40 peratus hasil akan menjadi agenda utama dalam manifesto GRS bagi menghadapi PRN17.

Untuk rekod, kadar Pemberian Khas sebagaimana terkandung dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan perlu disemak setiap lima tahun sekali namun tidak berlaku sejak 45 tahun lalu dengan kadar terakhir RM26.7 juta diterima pada 1973.