Aktif halaqah Al-Quran, jemaah meninggal dunia ketika solat Zuhur

6 Mar 2026 • 11:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Abu Bakar (gambar kecil) meninggal dunia selepas rebah ketika menunaikan solat Zuhur berjemaah di Masjid Ahmadi Rantau Panjang, Klang pada Khamis.

KLANG – [DIKEMAS KINI] Pemeriksa Kira-Kira 1 Masjid Ahmadi Rantau Panjang, di sini meninggal dunia selepas rebah ketika menunaikan solat Zuhur berjemaah di masjid itu pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu, Abu Bakar Ibrahim, 64, dipercayai rebah ketika rakaat kedua sebelum disedari jemaah lain selepas selesai solat.

Nazir masjid berkenaan, Mustapa Kamal Mohd Nasir berkata, kejadian itu hanya disedari selepas semua jemaah selesai menunaikan solat.

"Berdasarkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup), arwah berada di saf belakang ketika solat berlangsung,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mustapa Kamal berkata, pihak masjid kemudian menghubungi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk mendapatkan pengesahan sebelum tindakan lanjut diambil.

"Petugas perubatan mengesahkan Abu Bakar sudah meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum laporan polis dibuat bagi mendapatkan kebenaran pengebumian," jelasnya.

Menurut Mustapa Kamal, jenazah kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rantau Panjang kira-kira jam 6 petang hari sama.

"Pemergian arwah ketika menunaikan solat pada bulan Ramadan disifatkan sebagai kematian dicemburui kerana berlaku ketika dalam keadaan berwuduk dan sedang berpuasa," ujarnya.

Tambahnya, dalam hampir 20 tahun bersama kariah masjid, ini kali pertama seorang jemaah meninggal dunia ketika menunaikan solat.

"Arwah seorang yang pendiam dan jarang berbual, malah setiap kali bertembung dia hanya tersenyum.

"Selalunya jika tiada urusan lain, memang beliau akan datang menunaikan solat berjemaah lima waktu sehari di masjid ini,” tambahnya.

Sementara itu, Bendahari Projek Naik Taraf Masjid Ahmadi Rantau Panjang, Mohd Shah Johari, 74, berkata, Allahyarham juga berperanan sebagai penolong amil zakat fitrah di kawasan berkenaan.

"Kita kenali arwah sebagai seorang yang aktif dalam kegiatan masjid dan surau di sekitar kampung ini,” katanya.

Katanya, Allahyarham kerap kali menyertai halaqah al-Quran anjuran masjid yang diadakan sepanjang tahun.

"Saya akui sendiri arwah aktif menyertai halaqah al-Quran setiap pagi Isnin, Rabu dan Jumaat di masjid ini,” jelasnya.

Menurutnya, Allahyarham sudah lama dikenali oleh penduduk setempat kerana berasal dari kampung itu dan aktif dalam kegiatan kemasyarakatan.

"Pemergiannya ketika menunaikan solat disifatkan sebagai satu kematian yang berkat kerana bukan semua orang mendapat peluang meninggal dunia ketika beribadah," ujarnya.