Pengarah Ladang Farm Fresh Maut Nahas Helikopter di Filipina

4 Mar 2026 • 3:48 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Pengarah ladang Farm Fresh Bhd, Jacob Mathan, dilaporkan maut selepas helikopter yang dinaikinya terhempas di Filipina pada 3 Mac.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Urusan Farm Fresh, Loi Tuan Ee menerusi satu hantaran di Facebook.

Memetik laporan New Straits Times (NST), Jacob, 35, meninggal dunia kira-kira jam 7.20 pagi apabila helikopter yang dinaikinya terhempas di Pitilla, wilayah Rizal.

Difahamkan, pesawat itu dalam perjalanan untuk meninjau lokasi berpotensi bagi pembinaan ladang baharu sebelum dilaporkan mengalami masalah enjin.

“Jacob, seorang anggota penting dan sangat disayangi dalam keluarga Farm Fresh, meninggal dunia pada jam 7.20 pagi apabila helikopter yang dinaikinya terhempas di Pitilla, Rizal, Filipina.

“Perjalanan yang sepatutnya menjadi lawatan biasa menaiki helikopter baharu ke tapak ladang berpotensi bertukar tragedi apabila pesawat berkenaan mengalami masalah enjin,” katanya.

Dalam kejadian sama, Ketua Pegawai Eksekutif Farm Fresh Filipina, Shawn Pu yang turut berada dalam helikopter berkenaan dilaporkan cedera namun berada dalam keadaan stabil.

Sertai Farm Fresh Sejak 13 Tahun Lalu

Jacob menyertai Farm Fresh kira-kira 13 tahun lalu sebagai pelatih universiti di ladang syarikat itu di Mawai sebelum meningkat naik sehingga dilantik sebagai pengarah ladang.

Menurut Loi, sepanjang berkhidmat, Jacob dikenali sebagai individu yang mempunyai rasa tanggungjawab tinggi, sentiasa bersemangat untuk belajar serta prihatin terhadap rakan sekerja dan ternakan di bawah jagaannya.

Beliau juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh operasi ladang tenusu kumpulan itu selain membina hubungan baik dengan kontraktor, pembekal serta agensi kerajaan termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Jacob meninggalkan seorang isteri, Amy, serta ahli keluarga terdekat. – The Malaysian Update

The post Pengarah Ladang Farm Fresh Maut Nahas Helikopter di Filipina appeared first on The Malaysian Update.