Aktivis GSF Akan Dihantar Pulang Ke Eropah, Prosedur Pengusiran Bermula

WorldPolitics
2 Oct 2025 • 5:30 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Kementerian Luar Israel mengesahkan pihaknya akan menghantar pulang aktivis-aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan tentera laut negara itu, lapor CNN.

“Beberapa kapal GSF telah dihentikan dengan selamat. Semua penumpang sedang dibawa ke Israel di mana prosedur pengusiran mereka ke Eropah akan bermula,” menurut kenyataan kementerian itu di laman X.

Pengumuman tersebut dibuat selepas aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg bersama beberapa penumpang lain yang menyertai flotilla ke Gaza turut ditahan oleh tentera Israel.

Dihantar pulang ke Eropah

image is not available

“Thunberg dan rakan-rakannya selamat dan dalam keadaan sihat,” tambah kementerian sama selepas klip video tular memaparkan Thunberg duduk di atas lantai sambil dikelilingi anggota tentera.

Dalam pada itu, Global Sumud Flotilla (GSF) mengecam tindakan Israel memintas kapal mereka, sambil menegaskan ia merupakan serangan haram terhadap misi kemanusiaan yang dijalankan secara aman tanpa sebarang senjata.

Pun begitu, Israel mendakwa aktivis yang menyertai flotilla itu sebenarnya “tidak berminat menyampaikan bantuan, sebaliknya mahu mencetuskan provokasi.”

Dihantar pulang ke Eropah

image is not available

Sebaliknya, Global Sumud Flotilla (GSF) dalam kenyataannya di Telegram menyeru kerajaan serta institusi antarabangsa mendesak jaminan keselamatan dan pembebasan segera semua aktivis yang ditahan.

Insiden tersebut berlaku hanya beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington mengumumkan pelan damai untuk menamatkan konflik di Gaza.

Sumber: Kosmo!Online