Misi GSF: Semua Rakyat Malaysia Ditahan Selamat, Akan Dibawa Pulang – Wisma Putra

2 Oct 2025 • 10:51 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Kementerian Luar Negeri mengesahkan semua rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel berada dalam keadaan selamat, sihat dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.

“Kementerian ini akan memastikan mereka menerima sokongan serta bantuan konsular yang diperlukan bagi menjamin kepulangan selamat mereka ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

image is not available

Semua Rakyat Malaysia Ditahan Selamat

Menurut Wisma Putra, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengarahkan Kedutaan Besar Malaysia di Amman dan Kaherah mendapatkan kerjasama segera daripada kedutaan negara-negara ASEAN di Tel Aviv.

Langkah diplomatik ini merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh kerajaan Malaysia untuk memastikan keselamatan serta pembebasan segera semua peserta flotilla, termasuk 23 rakyat Malaysia yang kini dalam tahanan Israel.

image is not available

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamad turut berhubung dengan beberapa pemimpin negara sahabat, termasuk Amerika Syarikat, bagi mendapatkan sokongan mereka.

Malaysia menegaskan penahanan peserta flotilla itu tidak sah, sambil menuntut mereka dilayan mengikut undang-undang antarabangsa dan dibebaskan segera.

“Kerajaan Malaysia akan terus komited menjaga keselamatan rakyat di luar negara dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pencabulan hak asasi,” tegas kenyataan itu.

image is not available

Terdahulu, Anwar mengesahkan rejim Israel telah menahan 23 rakyat Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF).

Beliau turut menghubungi rakan sejawat dari Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani serta Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berhubung perkara itu.

Sumber: FB Wisma Putra