Aktivis GSF Didakwa Diugut Bunuh, Dipaksa Hadapi Tekanan Mental Dalam Tahanan Israel

WorldPolitics
5 May 2026 • 6:57 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Aktivis GSF Didakwa Diugut Bunuh, Dipaksa Hadapi Tekanan Mental Dalam Tahanan Israel

KUALA LUMPUR – Dua aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan berdepan layanan buruk termasuk ugutan bunuh serta ancaman dipenjarakan sehingga 100 tahun ketika ditahan pihak berkuasa Israel.

Perkara itu didedahkan oleh peguam daripada The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (Adalah) selepas lawatan ke pusat tahanan Shikma oleh peguamnya, Hadeel Abu Salih dan Lubna Tuma.

Menurut kenyataan, dua aktivis berkenaan iaitu Thiago Ávila dan Saif Abu Keshek kini memasuki hari keenam mogok lapar dengan hanya bergantung kepada air sebagai tanda bantahan terhadap penahanan yang didakwa tidak sah.

Soal Siasat Berjam-Jam, Tekanan Psikologi Melampau

Adalah memaklumkan, Thiago dilaporkan menjalani sesi soal siasat berulang sehingga lapan jam, selain diugut akan dibunuh atau dipenjarakan selama 100 tahun oleh pihak penyiasat.

Kedua-dua mereka juga ditempatkan dalam kurungan berasingan sepenuhnya, dengan lampu berintensiti tinggi dipasang 24 jam sehari, dipercayai bagi mengganggu tidur serta memberi tekanan psikologi.

Lebih membimbangkan, Thiago turut mendakwa ditempatkan dalam suhu yang terlalu sejuk, manakala kedua-dua aktivis itu ditutup mata setiap kali dibawa keluar dari sel termasuk ketika menjalani pemeriksaan perubatan.

Didakwa Langgar Etika Perubatan

Adalah menegaskan tindakan menutup mata pesakit ketika rawatan merupakan satu pelanggaran serius terhadap etika perubatan.

Menurut organisasi itu lagi, kebanyakan sesi soal siasat tertumpu kepada misi GSF yang bersifat kemanusiaan, sekali gus dilihat sebagai usaha mengkriminalkan bantuan kemanusiaan serta solidariti terhadap Gaza.

Dalam perkembangan sama, Adalah memaklumkan pihaknya masih menunggu keputusan sama ada pihak berkuasa akan memohon lanjutan tempoh tahanan terhadap kedua-dua aktivis berkenaan.

Sehubungan itu, organisasi terbabit menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat terhadap Thiago dan Saif, selain menggesa semua prosiding yang disifatkan tidak sah itu dihentikan. – The Malaysian Update

The post Aktivis GSF Didakwa Diugut Bunuh, Dipaksa Hadapi Tekanan Mental Dalam Tahanan Israel appeared first on The Malaysian Update.