SEPANG – 10 aktivis Malaysia dalam Misi Global Sumud Flotilla 2.0 yang ditahan rejim Zionis sebelum ini akan memulakan pelayaran kedua dalam misi menuju ke Gaza, pada bila-bila masa.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, mereka akan berlepas dan bergabung dengan aktivis antarabangsa dari Turkiye.
"Mereka (10 aktivis) sudah tiba di Istanbul pada 1 Mei lalu dan bukan sampai di Malaysia kerana perjuangan terus dilangsungkan.
"Setakat maklumat daripada Chef de Mission Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, mereka (dalam keadaan) baik, melalui satu fasa diculik secara haram di tengah malam," katanya pada sidang media khas perkembangan terkini GSF 2.0 pada Isnin.
Sebelum ini media melaporkan, 10 rakyat Malaysia antara 186 peserta yang diculik tentera Israel di perairan antarabangsa berdekatan Kepulauan Greece sudah dilepaskan di Pelabuhan Lerapetra di Kepulauan Crete, Greece.
Dalam pada itu Sani Araby memaklumkan, SNCC juga sedang melakukan penilaian untuk menggerakkan flotilla yang dijangka akan bergabung dari Greece bersama sektor di Turkiye.
Justeru menurutnya, kesemua 10 aktivis Malaysia tidak pulang ke tanah air dalam masa terdekat dan akan diberikan tugasan dari semasa ke semasa dan misi pelayaran akan dimaklumkan pada masa sesuai.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut melancarkan gelombang kebangkitan menerusi kempen #BreakTheSilent dan #BreakTheSiege dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini sebagai usaha memperkukuh tekanan antarabangsa ke arah pembebasan Gaza.
"Setakat ini kita sudah menerima sokongan daripada banyak kepimpinan dunia termasuk dari OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu).
"Sokongan itu mencerminkan indikator awal perjuangan ini perlu digandakan dan diteruskan.
"Sehubungan itu rakyat Malaysia diseru untuk terus bersuara di pelbagai platform termasuk media sosial bagi menyokong pembebasan Gaza di samping melaksanakan solat hajat serta qunut Nazilah," ujarnya.






