SEPANG - Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) belum menerima petunjuk berhubung kehadiran kesemua aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk 29 rakyat Malaysia yang ditahan di Pelabuhan Ashdod.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, sayap perundangan Pusat Kajian Hak Asasi Manusia dan Advokasi (Centhra) telah melakukan persiapan awal di lapangan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
"Maklumat daripada Centhra sehingga kini melalui pasukan Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) yang berada di lapangan, khususnya di Pelabuhan Ashdod masih belum dapat mengesahkan kehadiran kesemua peserta ini," katanya dalam sidang media khas di Mapim Central Warehouse pada Rabu.
Menurut beliau, tentera rejim Zionis (IOF) dipercayai menggunakan helah dengan sengaja menempatkan peserta misi kemanusiaan itu di atas kapal lebih lama sebelum dibawa ke darat.
"Sebaik sahaja dibawa ke darat, mereka terpaksa akur dengan undang-undang yang digubal sendiri iaitu tahanan harus dilepaskan dalam tempoh 24 jam.
"Boleh jadi hari ini mereka sampai namun, sekiranya semua tahanan yang diculik itu tiba di Pelabuhan Ashdod, Adalah bersedia menjadi wakil peguam mewakli Centhra dan seluruh dunia," ujarnya.
Sani Araby percaya situasi kini agak tegang selepas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap ke atas lima pimpinan tertinggi Israel termasuk menteri serta komander IOF atas jenayah perang.
**media[3526841]**
ARTIKEL BERKAITAN: Rakaman video tunjuk tentera Israel lepaskan tembakan ke arah kapal GSF
Beliau berkata, peserta GSF mempunyai profil antarabangsa yang mewakili pelbagai negara termasuk Kesatuan Eropah (EU) dan ia turut melibatkan adik perempuan Presiden Ireland, Catherine Connolly.
"Jika dalam tempoh 48 jam tidak ada maklumat pendaratan di Pelabuhan Ashdod saya kira itu adalah satu insiden dunia ambil peduli dan perlu masuk campur," katanya.
Dalam perkembangan sama, Sani Araby berkata, kerajaan sedang menggerakkan usaha diplomatik dengan bekerjasama rapat negara-negara sahabat bagi memastikan kesemua aktivis kemanusiaan dibebaskan segera.
Tambah beliau, tindakan ketenteraan bersenjata di koridor laut bebas itu merupakan pencabulan terhadap Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa (UNCLOS) 1982 yang menjamin kebebasan pelayaran mutlak bagi kapal awam termasuk kapal kemanusiaan.
"SNCC telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri serta Menteri Luar melalui Wisma Putra bahawa usaha diplomatik sedang digerakkan secara giat dan berterusan untuk meningkatkan tekanan antarabangsa," katanya lagi.
Dalam insiden hitam pada Isnin dan Selasa lalu, kesemua 50 kapal yang membawa 428 aktivis kemanusiaan dari 40 buah negara telah dipintas secara haram dan dikepung oleh tentera rejim zionis israel (IOF) di perairan antarabangsa, kira-kira 80 batu nautika dari pantai Gaza.
Laporan dan bukti visual mendedahkan kapal Sirius telah diserang menggunakan meriam air bertekanan tinggi serta dirempuh secara agresif oleh kapal tentera laut israel beridentiti A833D.
Insiden turut merakamkan tembakan ke arah kapal Girolama dan Elengi.


