Lokasi Peserta GSF 2.0 Belum Diketahui Sejak 48 Jam Ditahan Tentera Israel

20 May 2026 • 5:14 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

peserta gsf lokasi belum diketahui

Setakat ini, Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) belum menerima apa-apa perkembangan terkini mengenai kesemua peserta Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 yang ditahan tentera laut Israel sejak Isnin.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby menyuarakan kebimbangan itu pada sidang akhbar hari ini.

Menurut Sani, pihaknya masih tidak mempunyai info terkini mengenai nasib kesemua aktivis yang ditahan kerana kelibat mereka belum dilihat di Pelabuhan Ashdod, Israel.

“Kami belum menerima sebarang maklumat rasmi mengenai nasib ratusan aktivis kemanusiaan kita walaupun penahanan sudah dibuat hampir 48 jam.

“Boleh jadi mereka dipukul, boleh jadi mereka berhadapan dengan tindakan agresif. Saya kira masa ini adalah masa yang sangat penting dan jika dalam tempoh 48 jam tidak ada maklumat (rasmi) pendaratan di Pelabuhan Ashdod, saya kira ini adalah satu insiden yang perlu dunia ambil peduli dan masuk campur,” katanya.

Mengulas lanjut, pihaknya dimaklumkan peserta GSF 2.0 dipercayai ditahan sementara di atas kapal sebelum dibawa ke Pelabuhan Ashdod, namun setakat ini maklumat rasmi masih sangat terhad.

“Seperti tahun lepas, SOP yang telah kita latih, apabila sampai waktu genting terakhir, mereka telah disuruh untuk membuang telefon bimbit untuk elak daripada dirampas.

“Jadi apabila mereka diculik, kita secara penuh terputus hubungan dengan semua delegasi Malaysia dan delegasi dunia,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kesemua 29 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan ini disahkan ditahan Israel ketika dalam perjalanan menuju ke Gaza.

Sumber: Sinar Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.