Aktivis Rohingya Akui Tiada Keinginan Bertutur Dalam Bahasa Melayu Raih Perhatian

16 Jun 2026 • 10:31 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Aktivis Rohingya Akui Tiada Keinginan Bertutur Dalam Bahasa Melayu Raih Perhatian

KUALA LUMPUR – Kenyataan seorang aktivis Rohingya yang mengakui tidak mempunyai keinginan untuk bertutur dalam Bahasa Melayu meskipun mampu menguasainya mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.

Video yang dikongsikan oleh akaun Threads @15gagmy itu memaparkan Noor Azizah berkongsi pandangannya mengenai bahasa yang digunakan dalam kehidupan seharian sehingga menjadi perbualan hangat netizen.

Dalam video berkenaan, Noor Azizah mengakui dirinya mampu bertutur dalam Bahasa Melayu, namun tidak mempunyai keinginan yang tinggi untuk menggunakan bahasa tersebut.

Sebaliknya, beliau berkata lebih gemar bertutur dalam bahasa Rohingya dan turut memaklumkan bahawa dirinya boleh berbahasa Urdu sedikit sebanyak.

“Saya boleh bercakap Bahasa Melayu tetapi saya rasa tidak mempunyai keinginan untuk bertutur dalam Bahasa Melayu.

“Saya lebih suka bercakap dalam bahasa Rohingya, tetapi dengan loghat Australia dan saya juga boleh berbahasa Urdu sedikit,” katanya menerusi video yang kini tular di platform Threads.

Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial. Rata-rata netizen meluahkan rasa kurang senang dengan kenyataan berkenaan, khususnya kerana Malaysia merupakan antara negara yang pernah menjadi tempat perlindungan kepada pelarian Rohingya sejak sekian lama.

Malah, ramai pengguna media sosial turut mempersoalkan pendirian Noor Azizah berhubung identiti, bahasa dan hubungannya dengan Malaysia selepas beliau menetap di Australia.

Setakat ini, Noor Azizah belum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut bagi menjelaskan konteks penuh kenyataan yang tular tersebut.

Kontroversi Ucapan Di Australia

Nama Noor Azizah sebelum ini turut menjadi perhatian apabila ucapannya mengenai nasib pelarian Rohingya di Malaysia ketika menerima anugerah Marie Claire Women of the Year bagi kategori Voice of Now 2025 di Australia mengundang kecaman warga maya.

Majoritinya menyifatkan wanita itu tidak menghargai bantuan dan perlindungan yang diberikan Malaysia kepada komuniti berkenaan.

Menerusi video tular itu juga, Noor Azizah membangkitkan isu dihadapi komuniti Rohingya di negara serantau lain iaitu Indonesia dan Thailand, termasuk kisah pengalaman penganiayaan terhadap etnik tersebut sejak melarikan diri dari Myanmar.

Dakwanya, lebih 2,000 kanak-kanak Rohingya di Malaysia kini ditempatkan di pusat tahanan imigresen dan membesar di sebalik jeriji besi, bukannya di dalam bilik darjah.

“Selepas kami melarikan diri dari Myanmar, keganasan terus mengekori kami. Kamu mungkin mengenali Malaysia, Indonesia dan Thailand sebagai destinasi percutian untuk kamu sekeluarga.

“Di Indonesia, ucapan berbaur kebencian dan maklumat palsu membanjiri media sosial. Mereka memanggil kami (Rohingya) ‘haiwan berkulit hitam’, ‘sampah laut’ serta ‘monyet’.

“Di Thailand, sindiket pemerdagangan manusia memperdagangkan tubuh Rohingya seperti mata wang. Lelaki dipaksa jadi buruh, kaum wanita lenyap dan seluruh keluarga hilang di laut,” katanya.

Difahamkan, Noor Azizah yang kini menetap di Australia berkata demikian dalam satu majlis di University of Sydney pada tahun lalu.

Bagaimanapun, petikan video berdurasi satu minit 18 saat itu kembali tular di platform Threads sejak Ahad susulan isu Rohingya di Malaysia yang kembali menjadi perbincangan hangat kebelakangan ini.

Ia selepas Noor Azizah mengulang siar ucapan tersebut menerusi akaun Instagram miliknya, @noor.azizah.rohingya, pada Sabtu lalu dengan ruangan komen ditutup.

Kenyataan berkenaan terus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang mempertikaikan tindakan beliau mengkritik Malaysia ketika berucap di pentas antarabangsa. – The Malaysian Update


Sokong TMU

Jika anda menghargai usaha TMU dalam menyampaikan berita, maklumat dan isu semasa yang bermanfaat, anda boleh memberi sokongan secara sukarela.

Sokongan anda membantu kami terus menghasilkan laporan, artikel dan kandungan berkualiti untuk rakyat Malaysia.

Sokong TMU di sini

The post Aktivis Rohingya Akui Tiada Keinginan Bertutur Dalam Bahasa Melayu Raih Perhatian appeared first on The Malaysian Update.