
SHAH ALAM, 23 DIS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengesan perbuatan ‘ali baba’ dilakukan sebahagian penjaja asal di sepanjang rizab bahu Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai, Puchong.
Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar mendedahkan mereka menyewakan tapak sementara kepada pihak lain (sublet) berikutan dokumen itu tidak boleh diperbaharui kerana peniaga membina struktur binaan kekal.
“Sebelum ini, memang kita beri permit penjaja sementara. Namun, ia tidak boleh diperbaharui kerana penjaja membuat binaan (kekal) di situ.
“Tapak itu kemudian disalah guna dan diberi kepada peniaga lain. Jadi, mereka ini bukan penjaja asal di situ,” kata kepada Selangorkini.
Rabu lalu, MBSJ meroboh 25 binaan tanpa kebenaran di sepanjang rizab bahu jalan berkenaan dan menawarkan tapak niaga dan medan selera kepada penjaja tersebut di Dataran Niaga Puchong Permai.
Johary berkata seramai tiga penjaja telah berpindah dan meneruskan perniagaan di Dataran Niaga Puchong Permai yang terletak kira-kira 300 meter dari lokasi asal.
“Kita menyediakan tapak itu (Dataran Niaga Puchong Permai) dengan kadar sewa berpatutan iaitu satu petak RM30 sebulan untuk satu sesi iaitu satu hari melibatkan tiga sesi,” katanya.

The post Aktiviti ‘ali baba’ dikesan libatkan penjaja rizab jalan Puchong Permai appeared first on Selangorkini.
