
PUTRAJAYA – Semua aktiviti luar bilik darjah termasuk sukan dan program keramaian di kawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 diarahkan dihentikan serta-merta susulan keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan di seluruh negara juga diarahkan memantau rapat keadaan jerebu di lokasi masing-masing bagi memastikan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid sentiasa terjamin.
“KPM sentiasa memantau dan menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya semasa menghadapi keadaan situasi jerebu di luar jangkaan
“Susulan itu, KPM mengarahkan JPN, PPD dan semua institusi pendidikan bawah KPM terus memantau rapat keadaan semasa jerebu di lokasi masing-masing untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Pada masa sama, semua institusi pendidikan bawah KPM dinasihati agar sentiasa merujuk Surat Siaran yang diedarkan.
KPM berkata, berdasarkan situasi semasa jerebu dan bacaan IPU yang direkodkan di seluruh negara terkini, JPN Johor telah mengambil tindakan susulan berdasarkan garis panduan ditetapkan.
“Sehubungan itu, institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Johor di daerah Batu Pahat ditutup sementara mulai 7 Oktober 2026 (Rabu) sehingga keadaan kembali selamat dan arahan selanjutnya dikeluarkan.
“Dengan penutupan tersebut, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan berdasarkan kesesuaian serta ketetapan semasa dengan mengambil kira faktor keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid,” jelasnya.
KPM berkata, JPN, PPD dan semua institusi pendidikan bawahnya disarankan agar melaksanakan langkah-langkah pencegahan sebagaimana dalam garis panduan.
“Ia termasuk menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah jika cuaca terlalu panas danberjerebu selain memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada cuaca panas dan jerebu bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.
“Bagi kawasan yang bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah yang berada dalam kawasan atau daerah hendaklah ditutup dengan serta merta,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Aktiviti luar bilik darjah henti serta-merta jika IPU lebih 100 appeared first on Kosmo Online.





