‘Aku menangis macam budak kecil’ – Luahan sayu bapa

LocalFamily & Parenting
19 Nov 2025 • 9:59 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Seorang bapa berkongsi detik paling sukar dalam hidupnya apabila anak perempuan kesayangannya, Wan Adlin Nadhilah binti Wan Nasrul Hakim, meninggal dunia dalam satu kemalangan pada Sabtu, 15 November.

Dalam satu hantaran yang menyentuh hati, dia menceritakan perjalanan terakhir bersama anaknya, yang mesra dipanggil Alin, hanya beberapa hari sebelum gadis itu dijadualkan menghadiri majlis konvokesyen Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 24 November ini.

Selfie terakhir di dalam kereta

Menurut bapa Alin, gambar terakhir mereka dirakam pada Khamis, 13 November, ketika dalam perjalanan pulang ke Mentakab selepas mengambil jubah konvokesyen di UKM.

“Biasanya Alin tidur kalau aku yang memandu. Tapi hari itu dia berjaga. Aku tahu dia tunggu aku minta dia memandu kereta. Dari Tol Karak sampai Mentakab, dia yang pandu. Seronok sangat aku waktu itu,” katanya.

Hari selepasnya berubah menjadi tragedi

Pada Jumaat, bapa Alin bersama isteri dan anak lelakinya Yusuf ke Balok, Kuantan bagi menguruskan rumah kedua mereka. Alin pula tidak ikut kerana mempunyai sesi bergambar pra-konvokesyen bersama adik-beradik dan sepupu pada Sabtu.

Namun kira-kira jam 5.54 petang Sabtu, dia menerima panggilan daripada adiknya memaklumkan bahawa kereta Volkswagen Polo yang dinaiki Alin terlibat dalam kemalangan. Turut berada dalam kereta itu ialah adiknya, dua anaknya termasuk anak ketiga yang dipanggil Baby serta seorang rakan keluarga.

“Pada jam 6.12 petang, adik lelaki aku telefon. Katanya… Alin dah pergi,” katanya.

Baca juga:

Berita itu mematahkan seluruh kekuatan seorang bapa.Dua jam berlalu dalam keadaan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Pada 7.23 malam, dia akhirnya mempunyai kekuatan untuk memaklumkan berita itu kepada anak sulungnya, Aishah, yang berada di Utara.

“Perjalanan dari Balok ke Unit Forensik Hospital Temerloh dirasakan ibarat perjalanan yang tiada penghujung. Isteri aku menangis sepanjang masa,kadang-kadang kami menangis bersama-sama di dalam kereta,” kongsinya.

Setibanya di hospital, beliau mendapati Baby dirawat akibat patah tulang rusuk dan menerima sembilan jahitan di kepala, namun berada dalam keadaan stabil. Bedah siasat Alin hanya selesai menjelang tengah malam. Pada jam empat pagi, dia melihat wajah Alin buat kali terakhir dan dimaklumkan bahawa anaknya meninggal dunia akibat hentakan kuat pada kepala walaupun tiada kecederaan luaran. Dia dan Yusuf berada di sisi jenazah hingga Subuh. Pada jam 11 pagi Ahad, jenazah dimandikan dan dia sendiri mengimamkan solat jenazah anaknya.

“Aku cuba buka kain penutup muka Alin, aku renung muka dia, aku cium dahi dia, aku menangis macam budak kecil.

“Aku imamkan solat jenazah dia, tak pernah aku sangka yang aku akan jadi imam solat jenazah untuk anak aku sendiri. Aku tak pernah pun menjadi imam solat jenazah sebelum ni,” katanya.