
TEMERLOH: Hasrat mahu “berehat” yang diungkapkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Mohd. Radzi Rahimi selepas menamatkan konvoi motosikal ke Pulau Pangkor akhirnya menjadi kenangan paling menyayat hati apabila beliau maut dalam tragedi pokok tumbang di Jalan Janda Baik-Bentong, Bentong hari ini.
Ketua Puteri UMNO Bahagian Maran, Norhasnirawani Hashim, 38, berkata, ungkapan itu masih terngiang-ngiang di telinganya selepas menerima berita pemergian sahabatnya yang disifatkan sebagai seorang pemimpin muda komited dan mudah didekati.
Menurutnya, beliau bersama Mohd. Radzi serta keluarga baharu sahaja menyertai konvoi motosikal ke Pulau Pangkor disertai kira-kira 200 motosikal bermula Khamis lalu sebelum masing-masing bertolak pulang semalam.
Katanya, mereka sempat bersarapan bersama sebelum berpisah dan ketika itulah arwah beberapa kali meluahkan hasrat mahu berehat.
“Sebelum kami berpisah, dia cakap kepada saya, ‘Wani balik ya, kerja banyak’. Lepas itu dia ulang lagi, ‘Aku nak berehat, aku penat’.
“Saya sempat bergurau dengannya, kalau hendak berehat, berehatlah bersama-sama kami. Ketika itu saya langsung tidak menyangka kata-kata itu menjadi petanda dia benar-benar ‘berehat’ buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di sini hari ini.
Norhasnirawani berkata, sepanjang menyertai konvoi berkenaan, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara, malah aktif menyertai pelbagai aktiviti bersama peserta lain.
Beliau berkata, berita kemalangan itu diterima kira-kira pukul 3 petang selepas dihubungi Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Maran, Nurul Syakila Mohd. Hasbullah yang meminta kepastian tentang kejadian berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi, Mohd. Radzi maut bersama isterinya, Nuriani Mohammad Jafri, seorang anak mereka, Muhammad Rizz Hazim serta adik iparnya, Mohammad Nizam Mohammad Jafri selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Raptor yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Janda Baik-Bentong.
Seorang lagi anak kembar pasangan itu dilaporkan parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Bentong. – UTUSAN
The post ‘Aku nak berehat…’ jadi kata-kata terakhir Ketua Pemuda UMNO Maran appeared first on Utusan Malaysia.






