‘Aku nak berehat’ jadi kata-kata terakhir Ketua Pemuda UMNO Maran

LocalPolitics
3 Aug 2026 • 8:14 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Aku nak berehat’ jadi kata-kata terakhir Ketua Pemuda UMNO Maran

TEMERLOH – “Aku nak berehat.”

Itu antara kata-kata terakhir yang masih terngiang-ngiang di telinga Ketua Puteri UMNO Bahagian Maran, Norhasnirawani Hashim, 38, sebelum menerima berita pemergian sahabatnya, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Mohd. Radzi Rahimi dalam tragedi pokok tumbang di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong, berhampiran pintu gerbang Janda Baik di di Bentong.

Menurut Norhasnirawani, beliau bersama Mohd. Radzi dan keluarga baru sahaja menyertai konvoi motosikal ke Pulau Pangkor yang disertai kira-kira 200 motosikal bermula Khamis lalu sebelum masing-masing pulang semalam.

“Sebelum kami berpisah, dia cakap kepada saya, ‘Wani balik ya, kerja banyak’. Lepas itu dia ulang lagi, ‘Aku nak berehat, aku penat’.

“Saya sempat bergurau dengannya, kalau hendak berehat, berehatlah bersama-sama kami. Ketika itu saya langsung tidak menyangka kata-kata itu menjadi petanda dia benar-benar ‘berehat’ buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh di sini, hari ini.

Norhasnirawani berkata, sepanjang menyertai konvoi berkenaan, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara, malah turut menyertai pelbagai aktiviti bersama peserta lain.

Beliau memberitahu, berita kemalangan itu diterimanya kira-kira pukul 3 petang selepas dimaklumkan oleh Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Maran, Nurul Syakila Mohd. Hasbullah yang menghubunginya untuk mendapatkan kepastian mengenai kejadian tersebut.

“Saya sangka mungkin berita itu tersilap, namun akhirnya dimaklumkan kejadian itu benar-benar menimpa arwah dan keluarganya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

The post ‘Aku nak berehat’ jadi kata-kata terakhir Ketua Pemuda UMNO Maran appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved