“Aku Pernah Jadi Kawan Baik Dia, Tapi…”

Opinion
22 Jul 2025 • 8:00 AM MYT
Tulislepasgeram
Tulislepasgeram

A young writer with a big heart, sharing stories through a different lens.

Image from: “Aku Pernah Jadi Kawan Baik Dia, Tapi…”
Photo by Resat Kuleli on Unsplash

“Aku trauma sejak hari tu…”

Kenapa aku trauma? Aku akan ceritakan segalanya. Ini adalah kisah benar aku. Sejak dua tahun lepas aku di hantui mimpi buruk tentang sekolah menengah tu. Nak tau kenapa? Semuanya bermula dari sini.

Dulu, dalam satu bab kehidupan aku yang tak akan pernah aku lupakan, aku pernah ada seorang kawan. Seorang kawan yang pernah aku anggap istimewa, mungkin juga seperti adik sendiri. Bagi menjaga identitinya, biarlah aku gelarkan dia sebagai “R”. Kami satu kelas, satu sekolah, malah boleh dikira sebagai selalu bersama – ke mana saja, waktu susah mahupun senang, aku selalu ada dengan dia.

R bukan jenis yang pandai pendam perasaan. Dia mudah bercerita, mudah terbuka. Hampir setiap hari, dia akan meluahkan isi hati dan fikirannya pada aku – kadang-kadang tentang teman lelaki dia yang buat hal, kadang tentang tekanan dalam keluarganya, kadang tentang keresahan dia dengan diri sendiri yang selalu rasa tak cukup baik.

Ada masanya, dia bercerita tentang orang sekeliling dia yang pandai bermuka-muka – berpura-pura jadi kawan, tapi hakikatnya hanya mengambil kesempatan. Yang paling menyakitkan? Mereka yang ambil kesempatan ke atas dia tu bukan orang asing, bukan pelajar luar sekolah, tapi budak-budak perempuan yang sekelas dengan kami sendiri.

Aku pula, dari awal memang bukan seseorang yang punya ramai kawan dalam kelas tu. Aku jenis yang diam, buat hal sendiri. Dalam diam tu pun, aku tahu – aku tak disukai oleh kumpulan perempuan tu. Tapi yang menyedihkan, mereka menggunakan R, satu-satunya orang yang aku anggap kawan sejati.

R waktu tu ada iPhone paling baru – bukan main bangga dia cerita masa mula-mula beli. Tapi bangganya tak lama. Kumpulan tu akan pinjam telefon dia sesuka hati – kadang buat video TikTok, kadang streaming drama Korea, kadang buat panggilan tanpa minta izin. Sedangkan masing-masing pun ada telefon canggih juga. Tapi entah kenapa, mereka tetap mahu guna telefon R.

Aku pernah tanya dia kenapa dia biarkan? Dia mengeluh. Katanya penat, tapi bila aku suruh dia bertegas, dia hanya diam. Dia terlalu nak jaga hati orang – jenis yang sanggup korbankan diri sendiri demi orang lain. People pleaser sejati.

Tak cukup dengan itu, budak-budak junior pun ambil kesempatan. Kadang sampai bateri telefon dia habis langsung. Waktu nak balik sekolah, dia terpaksa pinjam telefon orang lain semata-mata nak hubungi ibu bapa dia. Sedih aku tengok. Aku yang bukan sesiapa ni pun naik geram. R macam tak tahu hak dia sebagai manusia – seolah-olah dia hanya tahu memberi, tanpa berani meminta semula. Dia biar diri dia diperlakukan macam tu, tanpa sedar dia sedang dilukai.

Tapi yang paling menyakitkan hati aku – benda yang aku sampai sekarang masih tak boleh telan – ialah bila kumpulan tu bukan sekadar pinjam telefon. Mereka gunakan R untuk beli barang secara online. Barang-barang remeh temeh, casing telefon, sticker, keychain – benda yang tak penting pun.

Bila duit tak cukup, atau bila mereka lambat bayar, siapa yang kena tampung? R juga. Bukan setakat itu, mereka gunakan alamat rumah R yang jauh di kampung, kononnya sebab rumah budak-budak lain dekat apartment susah nak terima parcel. Semua pun ambil jalan senang. Guna R sebab R jenis tak pandai menolak.

Dan aku? Aku tak pernah ambil kesempatan. Tak pernah terlintas nak guna dia. Aku cuma nak jadi kawan yang ada waktu dia perlukan. Aku yang bantu dia masuk jadi pengawas perpustakaan, tempat yang aku sendiri dah lama jaga. Kalau aku berhutang, aku akan bayar.

Kalau aku buat salah, aku akan minta maaf – bukan tunggu ditegur. Dia pun kadang minta maaf, tapi selalunya dalam chat. Mungkin sebab depan-depan, dia malu. Atau mungkin sebab dia tak pandai tunjuk rasa bersalah. Aku pun tak pasti.

Tapi satu benda yang aku selalu tertanya-tanya... Kenapa dia hanya marah-marah aku? Orang lain tak pula dia bentak, tak pula dia tinggikan suara. Hanya aku. Tapi aku tetap bersabar, sebab dalam hati aku masih fikir mungkin dia ada masalah sendiri yang dia tak tahu nak luahkan. Mungkin aku tempat paling selamat untuk dia lepaskan segalanya.

Pernah sekali, aku selamatkan dia dari geng lama dia – budak-budak yang suka ponteng kelas, yang pernah buli dia secara halus. Aku tarik dia keluar dari kelompok tu, dan perlahan-lahan aku ubah cara dia berfikir. Aku bantu dia kenal harga diri, bantu dia berdiri atas kaki sendiri. Dia mula berubah – bukan sekelip mata, tapi langkah demi langkah. Tapi aku? Aku yang ikhlas, aku yang setia – tetap jadi tempat dia luahkan rasa, bukan tempat dia hargai.

Dia pernah menangis atas bahu aku. Dalam diam, dia pernah dedahkan aib hidup dia – yang sampai hari ini aku tak pernah ceritakan pada sesiapa. Walau kami sekarang dah jadi orang asing, dah tak bertegur siapa, aku tetap pegang prinsip: aib orang, biarlah terkubur. Aku tak akan jadi macam orang lain yang bercerita ke sana sini demi rasa puas.

Sebab walau sebanyak mana aku rasa disakiti, aku tahu – aku pernah jadi seseorang yang dia percaya. Dan itu, bagi aku, satu penghormatan yang tak patut aku khianati.

“Bila Kawan Bertukar Musuh: Aku Tak Sangka Dia Sanggup Buat Aku Macam Tu.”

Semua bermula bila seorang budak baru masuk kelas kami. Aku gelarkan dia NH. Dan masa tu, aku perasan perubahan pada R – ya, R yang dulu aku anggap macam adik, macam kawan baik. Dia mula rapat dengan NH, dan perlahan-lahan dia lupakan aku. Mula cuma chat bila perlu. Bila dah cukup guna, aku ni… terus macam orang asing.

Aku masih sabar. Sampailah satu hari, masa di perpustakaan (ironi – tempat aku yang tolong dia masuk pengawas dulu), dia sorok telefon. Tapi perpustakaan tu terkunci. Dia marah-marah. Aku pun cuma tanya biasa, “Kenapa tak ambil kunci je?”

Dan jawapan dia? “Sudahlah Aku periksa kat pejabat guru tak ada kuncinya! Kau tanya pun tak ada otak, bodoh ke!?”

Aku terkedu. Terdiam. Rasa macam ditampar depan semua orang. Tapi aku diamkan. Kawan dia yang bernama SYQ pun pelik dengan kemarahan R dan ajak dia tengok balik. R tiba-tiba nak tarik tangan aku untuk ikut sekali, tapi aku elak. Aku tolak tangan dia. Aku kata tegas, “Tak nak.”

Dia pandang aku tajam. Macam aku musuh dia. Lepas tu dia terus pergi dengan SYQ. Masa tu subjek terakhir – sukan. Aku cuba tahan air mata. Aku nangis diam-diam sebab aku tak nak orang nampak.

Balik rumah, dia tak chat. Aku yang mula chat, tapi aku padam balik. Tiba-tiba barulah dia minta maaf. Benda yang dia selalu buat. Kali ni, aku tak terus maafkan. Aku nak tengok… dia ikhlas ke? Dia benar-benar rasa bersalah ke?

Cuti seminggu. Aku sorok profile dan status WhatsApp aku dari dia. Bila sekolah semula, dia tak minta maaf pun. Tak tanya kenapa aku hide profile, tak ambil tahu langsung. Malah... dia terus ignore aku. Macam aku tak wujud.

Dan waktu tu, aku mula jatuh sakit. Mental aku betul-betul runtuh.

Seorang junior yang aku kenal rapat, ND – yang juga pernah rapat dengan R – mula perasan sesuatu. Dia chat aku dan tanya kenapa R berubah. Aku ceritakan serba sedikit, dan dia faham. Dia post status WhatsApp – bukan sebut nama aku pun, tapi R boleh terasa.

R terus mesej ND dan... burukkan aku.

Dia kata, “Tak payahlah back up perempuan gila tu. Dah niat nak berbaik, tapi dia yang melebih.” Dia panggil aku PPKI, OKU, orang gila, pelacur, sakit mental. Semua keluar dari mulut dia. Padahal aku tak pernah aibkan dia. Aku simpan segala cerita dia sampai sekarang.

ND sendiri terkejut dan cakap kat dia, “Dahlah, melampau tau tak!?”

Yang lawaknya, R boleh fikir aku padam nombor dia semata-mata sebab aku hide profile. Dia tuduh aku macam-macam tanpa tanya. Dia chat aku, maki aku “Perempuan sial, jangan melebih…” dan macam-macam lagi. Aku balas panjang-panjang, aku cakap dengan sopan tapi pedas, “Kalau tak tahu apa-apa, tanya. Jangan tuduh melulu.”

Tak lama lepas tu aku jatuh sakit. Cuti lagi.

Bila aku kembali sekolah, aku dengar dia duduk dengan geng lama dia – geng yang pernah gunakan dia dulu – dan mengadu pasal aku. Yang aku ni drama lah, gila lah, tak bersyukur lah. Padahal dulu dia sendiri cakap buruk tentang geng tu. Sekarang? Kawan baik pula?

“Bila Semua Batas Hilang: Mereka Buli Aku Sampai Aku Trauma.”

Aku tak tahu dari mana nak mula, sebab kalau ikutkan hati… semuanya masih segar. Masih menghantui aku. Tapi aku akan cerita, straight to the point. Bukan sebab aku nak raih simpati. Tapi sebab aku tak boleh diam lagi.

Mereka – ya, termasuk R – sorok beg aku. Aku cari beg macam orang bodoh. Aku tak cari pasal, tak provoke sesiapa. Tapi dorang buat seolah-olah aku wujud untuk dipermainkan.

Mereka panggil aku pelacur. Mereka langgar meja aku masa aku tidur, dan aku dengar jelas apa yang mereka cakap pasal aku.

Paling aku tak sangka – mereka letak bangkai burung atas meja aku. Ya, bangkai. Dorang nak tengok reaksi aku, konon acah rakam diri sendiri, padahal nak tengok aku breakdown. Tapi aku kuat. Aku ambil bangkai tu, buang ke tong sampah. Dorang terdiam. Tapi dendam dorang belum habis.

Mereka buang buku nota aku ke lantai, pijak depan mata aku. R pula? Dia sebarkan gambar aku rambut urai pakai spek – gambar yang aku pernah bagi dia masa kami berkawan, sebab dia nak edit. Gambar tu sampai ke group kelas lelaki. Aku? Tak ada dalam group tu pun.

Lelaki mula ejek-ejek aku.

Dan walaupun aku boleh senang je sebarkan aib R, aku tak buat. Aku tahu benda tu salah. Aku masih hormat persahabatan yang pernah ada. Aku percaya Tuhan ada.

NH, budak baru tu… mula ikut perangai dorang. Aku tak pernah salahkan dia awalnya. Tapi dia fikir aku tuduh dia rampas kawan? Dia mula tunjuk perangai. Gedik, rampas teman lelaki orang, berpakaian ketat luar sekolah walaupun bertudung dalam sekolah.

Satu hari, masa aku nak ke tandas – tempat yang aku paling takut sebab gelap dan sempit (aku ada claustrophobia dan takut tempat gelap) – mereka ikut aku. Nak kunci aku dari luar. Ketawa. Nasib aku cepat, aku keluar dan trick dorang supaya tak tahu aku ke mana. Tapi aku tahu… R mesti dah bocorkan ketakutan aku pada dorang.

Dan R… dia bisik dekat telinga aku, masa aku tengah baca novel (satu-satunya escape aku waktu tu), “Kau cemburu dengan NH sebab dia lagi cantik dari kau kan?” Lepas tu ejek aku bisu, siap ketawa dengan geng dia.

Tapi waktu kawan aku dari kelas lain datang pinjam komik dan borak dengan aku, dorang semua terpinga. Baru dorang tahu aku masih ada kawan. NH pun nampak, tapi R tak ada waktu tu. Kawan aku sempat cakap, “Eh napa dorang tengok aku macam tu.” Aku senyum, dan jawab, “Entah. Anyway...”

Aku memang tak ada kawan dalam kelas, tapi luar kelas? Aku ada ramai. Aku tak sunyi. Aku pilih untuk jauh dari drama.

Waktu NH tak datang sekolah, R mula datang balik dekat aku – macam tak ada apa jadi. Langsung tak minta maaf properly. Aku layan acuh tak acuh. Dry. Dingin. Akhirnya aku tinggalkan dia sendiri. Dia yang pilih jalan tu, bukan aku.

Dan paling akhir, masa SPM, aku tengok dia mula bercakap semula dengan sepupu dia. Sepupu yang pernah dia burukkan dulu. Aku sendiri pernah dengar R kutuk sepupu dia kat geng dia. Tapi bila dia dah tak “diguna” oleh geng tu, baru dia cari sepupu dia balik.

Ironi.

Pengakhirannya?

Aku masih trauma. Masih bermimpi buruk. Kadang aku terbayang balik suasana kelas, suara ejekan, bangkai burung atas meja aku. Tapi satu benda yang aku masih pegang – aku tak pernah aibkan mereka walaupun aku mampu. Sebab aku tahu, walaupun dunia nampak diam, Tuhan tak tidur.

Dan tulisan ni… adalah cara aku untuk lepaskan semua tu.

Kalau korang baca sampai sini, terima kasih. Ini bukan kisah rekaan. Ini kisah aku. @TulisLepasGeram – dan kali ni aku tulis bukan sebab aku marah... tapi sebab aku penat.


Tulislepasgeram (delinsly30@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.