Akur Buat Silap, Kor Ming Mohon Maaf ‘Ugut’ Wartawan

LocalPolitics
2 Nov 2025 • 3:26 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming akhirnya akur, dan memohon maaf atas kesilapan dilakukan pada pelancaran Program Pencahayaan I Lite U Bukit Bintang baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di Facebook, Kor Ming berkata, beliau menerima dengan hati terbuka segala kemarahan dan teguran atas perkara itu.

Menurutnya, beliau sedar kemungkinan wujudnya kekhilafan dalam perkara itu.

“Saya sedar ada teguran yang dibuat ke atas saya berkaitan insiden yang berlaku semasa sidang media pra-pelancaran “I Lite U” baru-baru ini. 

“Selaku pemimpin saya ingin menegaskan bahawa saya sentiasa menghormati kebebasan media,” katanya.

Jelas Kor Ming, beliau tidak pernah berniat untuk menyinggung mana-mana pihak, terutamanya wartawan yang merupakan tunggak informasi Kerajaan Madani. 

“Objektif saya hanyalah untuk bersama-sama membina sebuah Malaysia masyarakat berbilang kaum yang inklusif, progresif dan sentiasa mengangkat martabat negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau mengakui, amat menghargai kehadiran serta sokongan rakan-rakan media yang sentiasa memainkan peranan penting dalam menyampaikan inisiatif KPKT kepada rakyat seperti yang berlangsung selama ini. 

“Saya dengan rendah hati sudi untuk berjumpa dengan pihak media yang terlibat dalam masa terdekat supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dan teratur,” katanya.

Menerusi klip video yang viral sebelum ini, Ahli Parlimen Teluk Intan itu dilihat seolah ‘mengugut’ seorang wartawan selepas berang dengan soalan diajukan. 

Tindakan berkenaan mengundang kritikan daripada pelbagai pihak termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm).

Dalam perkembangan lain, Kor Ming mengumumkan beberapa peruntukan baharu bagi projek di sekitar Ipoh, termasuk RM9 juta untuk pembinaan Pasar Baharu Pasir Putih dan RM2 juta bagi inisiatif pencahayaan bandar di bawah program ‘I Lite U Ipoh’.

Beliau berkata kedua-dua projek itu adalah sebahagian daripada inisiatif ‘Sentuhan Kasih’ KPKT bagi merancakkan sektor pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Taman ini (Taman Boon Bak) merupakan salah satu daripada 216 taman awam yang sedang disiapkan di seluruh negara. Saya menyeru penduduk agar menjaga kemudahan awam ini dan mengelak daripada melakukan perbuatan vandalisme.

“Tindakan merosakkan harta benda awam hanya akan menyebabkan kos tambahan kepada pihak berkuasa tempatan,” katanya. - Getaran, 2 November 2025