AkzoNobel buka pusat R&D baharu di Nilai, perkukuh inovasi cat lestari serantau

11/06/2025 - 15:31
(Kiri ke kanan) : Pengarah Cat Hiasan AkzoNobel BU ASEAN, My Lan Nguyen, Pengarah Perniagaan AkzoNobel Cat Hiasan Global & Ahli EXCO, Daniel Campos, Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Muhammad Azmi Zulkifli, Pengarah R&D AkzoNobel untuk Hiasan Cat, Tenggara & Asia Selatan, Gary Jefferson. Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 11 Jun – AkzoNobel melancarkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) baharu di Nilai, Negeri Sembilan sebagai sebahagian komitmen jangka panjangnya untuk memacu inovasi dan rumusan cat lestari di Asia Tenggara.
Pusat itu berfungsi sebagai hab inovasi serantau khusus dalam teknologi cat hiasan mesra alam, sekali gus mempercepat pembangunan produk yang relevan dengan keperluan pasaran tempatan.
Kemudahan baharu itu melengkapkan rangkaian pusat khusus sedia ada di Poland, Dubai, UK (Felling dan Slough), serta Belanda, dan kini menjadi sebahagian daripada lebih 70 makmal R&D global AkzoNobel.
Pengarah Unit Perniagaan Cat Hiasan ASEAN, My Lan Nguyen berkata, pusat R&D baharu itu membolehkan syarikat membolehkan syarikat mengoptimumkan kepakaran sedia ada dan memperkukuh rangkaian inovasi serantau.

"Ia mempercepat proses inovasi dan menghubungkan kami dengan pasaran utama di Asia Tenggara secara lebih berkesan," katanya dalam satu kenyataan.
Fasiliti tersebut dilengkapi sistem ujian robotik automatik dan alat analisis canggih yang menyokong formulasi berasaskan data dan eksperimen berkelajuan tinggi, membolehkan penciptaan produk berprestasi tinggi dan lestari.
Pengarah R&D Cat Hiasan Asia Tenggara dan Asia Selatan, Gary Jefferson berkata, kehadiran pusat itu di Malaysia memperkukuh kerjasama antara pasukan setempat dan rakan industri dalam menghasilkan rumusan yang disesuaikan dengan pasaran.
"Ini menjadikan kami lebih cekap dalam menukar pandangan pengguna kepada inovasi lestari secara nyata dan pantas," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Muhammad Azmi Zulkifli berkata, pelaburan AkzoNobel membuktikan peranan Malaysia sebagai hab utama inovasi dan pembangunan lestari serantau.

"Infrastruktur bertaraf dunia dan bakat tempatan berkualiti tinggi terus menjadikan Lembah Klang lokasi pilihan pelabur global," ujarnya.
Pusat R&D itu bakal menampung 35 tenaga professional dan dibina berasaskan prinsip kelestarian, termasuk penggunaan bahan mesra alam serta sistem penjimatan tenaga.
Fasiliti yang terletak di tengah kawasan perindustrian Nilai itu turut dijayakan melalui kerjasama strategik bersama InvestKL.- DagangNews.com
standard

