Al-'Aqar Healthcare REIT sasar aset dengan pulangan tinggi, struktur hutang lebih stabil – MBSB Research

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2026 • 9:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Al-'Aqar Healthcare REIT sasar aset dengan pulangan tinggi, struktur hutang lebih stabil – MBSB Research Image from: Al-'Aqar Healthcare REIT sasar aset dengan pulangan tinggi, struktur hutang lebih stabil – MBSB Research amree11/08/2026 - 09:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 OgosAl-'Aqar Healthcare REIT dilihat ada prospek pertumbuhan jangka panjang yang positif melalui pemerolehan aset dengan pulangan lebih tinggi dan strategi kitar semula modalnya.

 

Bagaimanapun, menurut MBSB Research, kebergantungannya ketika ini kepada 100% pembiayaan Islam kadar terapung kekal sebagai cabaran kerana kos pinjaman sensitif terhadap pergerakan kadar faedah.

 

Berdasarkan pertemuan dengan pihak pengurusan, prestasi stabil aset kumpulan itu dijangka terus menjadi asas pertumbuhan, dipacu beberapa inisiatif strategik bagi meningkatkan kestabilan hasil.

 

"Pengurusan Al-'Aqar Healthcare REIT menyasarkan pemerolehan kasar melebihi 6.25% untuk memastikan urus niaga tersebut memberi nilai tambah kepada pendapatan dana tersebut," jelas firma berkenaan.

 

MBSB Research merujuk pemerolehan KPJ Ampang Puteri dan KPJ Penang daripada KPJ Healthcare Berhad pada Mac 2025 mencatatkan hasil sewaan kasar 6.3%, yang hanya memberi pertambahan kecil hasil.

 

Justeru tambahnya, dalam usaha meningkatkan kecekapan modal, pengurusan juga menilai pelupusan aset dengan berpulangan lebih rendah, antaranya portfolio tertentu yang menjana pendapatan sekitar 6.2%.

 

Al-'Aqar_DagangNews2026

Al-'Aqar Healthcare REIT sebelum ini mengumumkan pelupusan KPJ Healthcare College Penang di Bukit Mertajam dengan harga RM12 juta dan transaksi itu dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

 

"Antara berpotensi dilupuskan ialah Tawakkal Health Centre Wellness dan KPJ Kuantan Care & Wellness Centre, sebagai strategi kitar semula modal kepada pelaburan pulangan tinggi," kata MBSB Research.

 

Pada masa sama, pengurusan merancang mengubah campuran hutang kepada 70% kadar tetap dan 30% kadar terapung berbanding struktur semasa yang keseluruhan pembiayaan Islam dengan kadar terapung.

 

Ujarnya, Al-'Aqar Healthcare REIT juga dalam proses menerbitkan bon bagi mengunci kadar pembiayaan rendah untuk pembiayaan semula, sekali gus membantu mengurangkan ketidaktentuan kos kewangannya.

 

Kata MBSB Research, peralihan kepada kadar hutang tetap yang lebih tinggi dijangka meningkatkan kestabilan pendapatan kumpulan amanah pelaburan hartanah (REIT) tersebut dalam jangka masa panjang.

 

"Sehubungan itu, langkah pemerolehan aset pada hasil yang lebih tinggi serta pelaksanaan strategi kitar semula modal akan menjadi pemacu utama pertumbuhan masa depannya," jelas firma berkenaan.

 

Ia mengekalkan saranan 'beli' terhadap Al-'Aqar Healthcare REIT dan harga sasaran (TP) RM1.30 tanpa perubahan unjuran pendapatan, selain menilai dividen 6.1% sebagai menarik kepada pelabur. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved