hamden10/08/2026 - 12:51 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Ogos - Al-Aqar Healthcare REIT kini menawarkan penilaian yang lebih menarik selepas harga unitnya merosot 12% daripada paras kemuncak pada awal 2026, menurut BIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, penurunan tersebut menyebabkan penilaian Al-Aqar berada di bawah beberapa syarikat setara serantau, sekali gus membuka peluang kepada pelabur untuk mendapatkan pendedahan kepada portfolio hartanah penjagaan kesihatan yang bersifat defensif pada harga lebih menarik.
BIMB Securities memulakan liputan terhadap Al-Aqar dengan saranan ‘Beli’ dan harga sasaran (TP) RM1.48, iaitu yang tertinggi antara lima firma penyelidikan yang meliputi REIT berkenaan.
“Ini menunjukkan pelabur boleh mendapatkan pendedahan kepada portfolio hartanah penjagaan kesihatan yang defensif pada penilaian lebih menarik berbanding syarikat setara yang disenaraikan di Singapura,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurut BIMB Securities, Al-Aqar kini didagangkan pada sekitar 92% daripada nilai aset bersih (NAV) dan kira-kira 15 kali unjuran pendapatan tahun ini.
Sebagai perbandingan, Parkway Life REIT yang disenaraikan di Singapura didagangkan pada hampir 24 kali unjuran pendapatan 2026.
Al-Aqar, yang merupakan satu-satunya REIT penjagaan kesihatan patuh Syariah di Malaysia, terjejas susulan penamatan kadar keutamaan bagi cukai pegangan ke atas dividen daripada REIT atau dana amanah hartanah.
Berdasarkan lima firma penyelidikan yang dijejaki Bloomberg, terdapat tiga saranan ‘Beli’ dan dua ‘Pegang’ bagi Al-Aqar, dengan harga sasaran purata 12 bulan sebanyak RM1.33.
Hasil Dividen Juga Menarik
Selain penilaian yang menarik, BIMB Securities melihat hasil dividen sebagai satu lagi tarikan utama Al-Aqar.
Firma itu mengunjurkan hasil dividen REIT berkenaan antara 6.3% hingga 7.7% bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Hasil dividen yang diunjurkan sebanyak 7.3% pada 2027 pula memberikan spread sekitar 360 mata asas berbanding bon kerajaan Malaysia 10 tahun.
Menurut BIMB Securities, ciri tersebut menjadikan Al-Aqar lebih menarik kepada pelabur yang mencari aliran pendapatan defensif.
Walaupun gearan Al-Aqar masih berada pada paras tinggi 48.3%, kedudukan kewangannya dijangka bertambah baik susulan pelan pelupusan aset.
BIMB Securities berkata, hasil daripada pelupusan Jeta Gardens dan KPJ Healthcare College Penang yang dijangka diselesaikan menjelang akhir tahun akan digunakan bagi membayar sebahagian pinjaman.
Langkah tersebut dijangka mengurangkan nisbah hutang kepada ekuiti pemegang saham kepada di bawah 47% pada 2027, selain membantu menurunkan kos pembiayaan.
“Pelupusan Jeta Gardens dan KPJ Healthcare College Penang yang dirancang dijangka mengukuhkan kunci kira-kira REIT melalui pengurangan pinjaman, sekali gus menghasilkan kos pembiayaan yang lebih rendah,” katanya. - DagangNews.com


