Al-Salam REIT dijangka pacu pertumbuhan pendapatan melalui jejantas hubungkan Komtar JBCC dan stesen RTS Link – Maybank IB
diyana
18/07/2023 - 10:22
KUALA LUMPUR 18 Julai - Maybank Investment Bank (Maybank IB) positif terhadap rancangan Al-Salam REIT untuk membina jejantas pejalan kaki menghubungkan Komtar JBCC dan stesen Sistem Transit Rapid (RTS) Link Bukit Chagar.
Firma penyelidikan itu berkata, pemulihan Komtar JBCC adalah pemangkin penarafan semula utama bagi Komtar JBCC, di mana Al-Salam REIT merancang untuk mengkonfigurasi semula campuran penyewanya dan membawa masuk jenama premium ke dalam Komtar JBCC.
“Dengan inisiatif perbelanjaan runcit dari Singapura kembali normal, bilangan pengunjung di Komtar JBCC dijangka meningkat. Pengurus hartanah itu menjangkakan jumlah pendapatan Komtar JBCC meningkat sekurang-kurangnya 30% pada suku kedua tahun 2024 (2Q24) dari suku kedua 2023 (2Q23),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sehubungan itu, Maybank IB berkata jejantas yang disasarkan dibuka pada 2027 itu dijangka memacu trafik jejak kaki dan kadar sewa yang lebih tinggi untuk Komtar JBCC.
Menurut firma itu, RTS yang menghubungkan Singapura dan Malaysia itu mempunyai anggaran kapasiti 10,000 penumpang sejam setiap arah.
Oleh itu, trafik dari RTS dijangka meningkatkan dengan ketara kadar pejalan kaki, jualan penyewa dan tempat letak kereta di Komtar JBCC.
Bagi projek pembinaan jejantas itu, Maybank IB berkata ia akan menelan belanja kira-kira RM10 sehingga 15 juta dalam perbelanjaan modal (capex).
“Oleh itu, Al-Salam juga akan melaksanakan inisiatif peningkatan aset yang meluas dengan menaik taraf kemudahan dan susun atur keseluruhan di Komtar JBCC.
“Kos inisiatif peningkatan aset dianggarkan sekitar RM25 juta. Kami difahamkan terdapat potensi penempatan persendirian, untuk membiayai kedua-dua pembinaan jejantas dan inisiatif peningkatan aset,” tambahnya.
Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan Al-Salam REIT dan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) 48 sen sesaham.
Pada waktu penulisan, saham Al-Salam REIT tidak berubah pada 46 sen dengan pasaran modalnya bernilai RM266.8 juta. - DagangNews.com



