KUANTAN – Pengalaman berdepan sendiri kejadian kebakaran sebuah sekolah di Pekan kira-kira 46 tahun lalu antara sebab Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah sentiasa menghargai segala pengorbanan anggota bomba dan mengikuti rapat setiap operasi yang dilaksanakan agensi itu di negeri ini.
Berkongsi pengalaman itu, Baginda mengakui ia masih segar dalam ingatan walaupun kebakaran besar di Sekolah Menengah Al-Attas meragut nyawa seorang pelajar itu berlaku pada Ramadan awal tahun 1980-an.
Baginda menerima khabar itu kira-kira jam 3 pagi ketika bangun untuk bersahur.
"Ketika sampai di sana (kawasan sekolah) ia masih terbakar. Semua pelajar yang berada di blok asrama kalau tidak silap 16 atau 17 orang dikatakan telah diselamatkan namun hati saya terdetik minta anggota bomba periksa ulang kerana merasakan masih terdapat mangsa yang belum ditemui.
"Saya menyatakan kepada mereka cuba cek sekali lagi, cek nama siapa yang ada, siapa yang tak ada. Sebut nama satu persatu dan ada satu nama ketinggalan tidak disebut.
"Saya tanya dengan guru besar mana budak ini? Dia kata, tak silap sayalah, budak itu belum balik lagi dari kampung," titah Baginda.
Baginda berkongsi kisah itu dalam titah perasmian Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Lembing di sini pada Khamis.
Titah baginda, hasil pemeriksaan ulang (terakhir) dilakukan, pihak bomba menemui pelajar tersebut dalam keadaan rentung di bawah katil asrama.
"Hari itu saya tak tahulah ALLAH menggerakkan hati saya menitahkan kepada bomba minta pergi cari lagi untuk kali terakhir," titah Baginda.
Baginda ketika itu baru pulang dari England dan tinggal di Pekan.
"Satu pengalaman yang sehingga kini kekal terpahat dalam ingatan dan menjadi bukti keberanian anggota bomba yang sanggup mempertaruhkan nyawa dalam operasi menyelamat.
"Selagi mana kekuatan saya ada, selagi mana saya mampu, saya akan terus bersama pihak bomba di negeri Pahang," titah Baginda.
Al-Sultan Abdullah turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk bekas serta pengarah-pengarah JBPM Pahang yang telah banyak menyumbang kepada kecemerlangan jabatan itu.
Paduka Baginda turut menasihatkan seluruh warga bomba agar terus memberikan perkhidmatan terbaik dengan penuh dedikasi demi kesejahteraan rakyat, negeri dan negara.






