
PUTRAJAYA: Penubuhan Alam Flora Driving Excellence Centre (AFDEC) menjadi langkah strategik Alam Flora Sdn. Bhd. dalam memperkukuh kompetensi pemandu serta memastikan tenaga kerjanya bersedia mengendalikan kenderaan elektrik dan aset pembersihan generasi baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Shariman Yusuf Mohamed Zain berkata, AFDEC merupakan fasiliti latihan berasaskan simulator yang diwujudkan bagi meningkatkan kompetensi pemandu, memperkukuh budaya keselamatan dan menyokong kecemerlangan operasi syarikat.
Menurut beliau, pusat latihan itu mencerminkan komitmen Alam Flora melahirkan tenaga kerja yang lebih mahir, berdisiplin dan bersedia menghadapi perubahan teknologi serta keperluan operasi masa depan.

Melalui sistem itu, pelbagai senario pemanduan dapat disimulasikan mengikut objektif pembelajaran termasuk di kawasan bandar, luar bandar, berbukit serta dalam keadaan jalan dan cuaca berbeza.
“Latihan menggunakan simulator membolehkan pemandu Alam Flora didedahkan kepada pelbagai situasi operasi dalam persekitaran yang selamat sebelum mengendalikan kenderaan sebenar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kenderaan dan Peralatan Pembersihan Elektrik Alam Flora Melalui sistem itu, pelbagai senario pemanduan dapat disimulasikan mengikut objektif pembelajaran termasuk di kawasan bandar, luar bandar, berbukit serta dalam pelbagai keadaan jalan dan cuaca.
Beliau berkata, AFDEC turut menawarkan modul Pemanduan Berhemah (Defensive Driving) yang mensimulasikan pelbagai situasi kecemasan seperti kemunculan haiwan atau kenderaan secara tiba-tiba, kegagalan sistem brek, kegagalan stereng dan tayar pecah bagi menguji kecekapan pemandu membuat keputusan dalam situasi kritikal.
Katanya, latihan dijalankan menggunakan Truck Simulator Station berskala 1:1 yang menyerupai kabin sebenar lori operasi Alam Flora jenis UD Truck, manakala sistem akan menjana laporan penilaian prestasi berdasarkan Sistem KEJARA bagi menentukan tahap kompetensi serta keperluan latihan susulan.
Menurut beliau, penubuhan AFDEC melengkapi usaha syarikat memperluaskan penggunaan teknologi hijau menerusi pengoperasian kenderaan dan peralatan pembersihan berkuasa elektrik.

Antara aset yang diperkenalkan ialah mesin kutipan sampah kecil, peniup daun, penyapu jalan elektrik, tong sampah pintar serta kenderaan penyelenggaraan jalan yang mampu meningkatkan produktiviti operasi di samping mengurangkan pelepasan karbon dan pencemaran bunyi.
Menurut beliau, Alam Flora menyasarkan penggunaan 242 kenderaan dan peralatan elektrik di seluruh kawasan perkhidmatannya menjelang penghujung tahun ini dengan pelaburan kira-kira RM3 juta bagi pemerolehan aset, pembangunan teknologi serta infrastruktur berkaitan.
“Apa yang dilancarkan hari ini bukan sekadar aset dan fasiliti baharu, tetapi lambang komitmen Alam Flora untuk terus menerajui inovasi, memperkukuh kecekapan operasi serta menyumbang kepada pembangunan bandar yang lebih bersih, hijau dan mampan,” katanya.
“Penggunaan aset ini bukan sahaja membantu mengurangkan pelepasan karbon dan pencemaran bunyi, malah meningkatkan produktiviti serta kecekapan operasi di lapangan,” katanya.
Menurut beliau, beberapa projek Proof of Concept (POC) sedang dilaksanakan bagi menilai keberkesanan teknologi berkenaan sebelum ia diperluaskan mengikut keperluan operasi tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.-UTUSAN
The post Alam Flora lahir pemandu lebih kompeten, profesional appeared first on Utusan Malaysia.


