Alam Flora sasar 242 aset elektrik menjelang akhir tahun

LocalEnvironment
7 Aug 2026 • 1:06 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Alam Flora sasar 242 aset elektrik menjelang akhir tahun

PUTRAJAYA: Alam Flora Sdn. Bhd. menyasarkan penggunaan 242 unit kenderaan dan peralatan berkuasa elektrik di seluruh kawasan perkhidmatannya menjelang penghujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Shariman Yusuf Mohamed Zain berkata, sasaran itu mencerminkan komitmen syarikat dalam mempercepat penggunaan teknologi hijau selaras aspirasi negara ke arah pembangunan rendah karbon.

Katanya, setakat ini Alam Flora telah melaburkan kira-kira RM3 juta bagi pemerolehan kenderaan dan peralatan elektrik, pembangunan teknologi serta penyediaan infrastruktur berkaitan.

“Penggunaan aset ini bukan sahaja membantu mengurangkan pelepasan karbon dan pencemaran bunyi, malah meningkatkan produktiviti serta kecekapan operasi di lapangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kenderaan dan Peralatan Pembersihan Elektrik Alam Flora di sini, hari ini.

Menurut beliau, penggunaan kenderaan dan peralatan elektrik itu dijangka mengurangkan pelepasan karbon berbanding kenderaan konvensional berasaskan petrol, selain mengurangkan pencemaran bunyi ketika operasi pembersihan dijalankan.

“Usaha ini adalah sebahagian komitmen kita untuk mengurangkan pelepasan karbon ke udara dan menggantikan secara berperingkat kenderaan sedia ada seperti kompaktor petrol kepada kenderaan elektrik,” katanya.

Shariman berkata, bagi fasa awal pelaksanaan, penggunaan kenderaan elektrik telah mencapai 100 peratus bagi kategori motosikal, manakala beberapa kategori lain seperti basikal roda tiga elektrik turut diperluaskan secara berperingkat.

Bagaimanapun, katanya, bagi kenderaan berkapasiti lebih besar seperti kompaktor sampah, Alam Flora akan menjalankan ujian Proof of Concept (POC) terlebih dahulu bagi memastikan keupayaan aset itu memenuhi keperluan operasi sebenar.

“Bagi kompaktor, kita perlu memastikan kapasiti bateri, jarak perjalanan serta keupayaan kutipan sampah dapat memenuhi jadual operasi harian kerana perkhidmatan kepada orang ramai tidak boleh terjejas,” katanya.

Beliau berkata, walaupun kos pemerolehan awal kenderaan elektrik lebih tinggi sekitar 40 hingga 50 peratus berbanding kenderaan konvensional, penilaian perlu dibuat berdasarkan kos kitar hayat termasuk penjimatan bahan api dan penyelenggaraan.

Antara aset yang diperkenalkan ialah mesin kutipan sampah kecil, penyapu jalan elektrik, peniup daun, tong sampah pintar serta kenderaan penyelenggaraan jalan, selain beberapa POC sedang dijalankan bagi menentukan kesesuaian peluasan teknologi berkenaan.

Dalam pada itu, Shariman berkata, Alam Flora turut meneroka penggunaan teknologi pemanduan autonomi, robotik serta penyelesaian digital pintar bagi meningkatkan kecekapan operasi pada masa hadapan.

Beliau berkata, penggunaan kenderaan elektrik akan diperluaskan secara berperingkat selepas setiap aset melalui penilaian teknikal dan operasi bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai tidak terjejas.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada transformasi Alam Flora ke arah operasi lebih moden, cekap dan mesra alam, selain menyokong usaha kerajaan membangunkan bandar yang lebih bersih, hijau dan mampan. – UTUSAN

The post Alam Flora sasar 242 aset elektrik menjelang akhir tahun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved