Alam Flora sasar keuntungan lebih tinggi melalui perkhidmatan berasaskan ESG tahun ini
zulfadli
22/09/2023 - 16:52
KUALA LUMPUR 22 Sept - Alam Flora Sdn Bhd, anak syarikat Malakoff Corporation Bhd menyasar keuntungan lebih tinggi tahun ini disokong oleh penyediaan perkhidmatan berasaskan alam sekitar, sosial dan tadbir urusnya (ESG).
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan berkata, kebanyakan pemain industri di negara ini sudah mula menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan syarikat itu bagi menyediakan perkhidmatan yang menumpukan kepada ESG seperti kemudahan terbaru, Fasiliti Eko Mampan Pemerolehan Semula Sisa (RISE).
"Ramai sudah mula minta kepada Alam Flora untuk memberikan perkhidmatan berasaskan ESG seperti RISE yang mana perkhidmatan ini membolehkan sumber yang kita pakai itu dapat digunakan semula untuk industri dan sekali gus boleh beri hasil kepada syarikat," katanya selepas program Alam Flora Cyber Eco Hunt 2023, di sini, hari ini.
Alam Flora merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti tinggi sebanyak RM21.9 juta pada suku kedua tahun ini berbanding RM20.5 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, disumbang terutamanya daripada peningkatan kekerapan aktiviti pembersihan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah.
Pada masa yang sama, Mohd Zain berkata, anak syarikat milik penuh Alam Flora, Alam Flora Environmental Solutions Sdn Bhd (AFES) membangunkan fasiliti RISE yang seiring dengan inisiatif persendirian Malakoff untuk mencapai kadar kitar semula 15 peratus hingga 20 peratus menjelang tahun 2025.
Beliau yang juga pengarah AFES berkata, fasiliti RISE yang terletak di Batu Caves itu mampu menerima sehingga 50 tan sisa kering sehari untuk diasingkan dan dikitar semula.
"Sejak dilancarkan, RISE telah menerima 15 ke 16 tan sisa kering setiap hari, dan dalam tempoh lima tahun akan datang, AFES diharapkan mampu menghasilkan 65 tan sisa kitar semula dari Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya," katanya.

AFES menyediakan perkhidmatan utama iaitu 'Pengurusan Fasiliti', 'Pembersihan Infrastruktur dan Penyelesaian Sisa dan "Kemudahan Pengurusan Sisa" yang menawarkan pengurusan berkesan bagi proses dan amalan sistem semua kemudahan teknikal, mekanikal, elektrikal, awam, struktur dan seni bina, dalam bangunan termasuk perkhidmatan pengurusan profesional bersepadu untuk rumusan menyeluruh.
Pada masa depan, Mohd Zain berkata, AFES bercadang untuk membuka RISE di kawasan dan negeri di bawah konsesinya termasuk negeri yang menyatakan hasrat untuk turut mempunyai perkhidmatan berkenaan, lapor Bernama.
Syarikat merancang menambahkan lagi aset pengurusan fasiliti serta menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri untuk merehabilitasi dan membaiki semula tapak pelupusan sampah lama bagi mengelakkan berlakunya pencemaran sungai, katanya. - DagangNews.com


