Alami Masalah Teknikal, Jet Pejuang TUDM Mendarat Cemas Di KKIA

20 May 2026 • 10:11 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Alami Masalah Teknikal, Jet Pejuang TUDM Mendarat Cemas Di KKIA

KUALA LUMPUR - Sebuah jet pejuang F/A-18D milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) malam tadi selepas mengalami masalah teknikal.

Pesawat berkenaan dipercayai mengalami gangguan pada enjin kiri atau left engine flame out sebelum berjaya mendarat dengan selamat pada jam 7.47 malam.

Menurut sumber, jet pejuang itu kemudian ditempatkan di Terminal 2 KKIA bagi tujuan pemeriksaan dan tindakan lanjut.

Keadaan pesawat dilaporkan berada dalam keadaan baik, manakala beberapa jurutera dilihat menjalankan pemeriksaan sejurus selepas pendaratan dilakukan.

Terdahulu, bunyi dentuman kuat dilaporkan kedengaran di beberapa kawasan sekitar Sepanggar dan Kota Kinabalu, sekali gus mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penduduk setempat. 

Beberapa pengguna media sosial turut berkongsi pengalaman mereka berhubung kejadian itu.

Getaran difahamkan, pesawat terbabit masih berada di kawasan Terminal 2 KKIA sehingga kini.

Setakat ini, pihak TUDM masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan. - Getaran, 20 Mei 2026