
KUALA LUMPUR - Sebuah jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) selepas dipercayai mengalami masalah enjin kiri, malam tadi.
Jet pejuang TUDM jenis F/A-18D itu dipercayai mengalami masalah teknikal membabitkan 'left engine flame out' sebelum dapat mendarat dengan selamat pada jam 7.47 malam.
Menurut laporan BH, difahamkan jet berkenaan kemudian diparkir di Terminal 2 KKIA untuk tindakan lanjut.
Menerusi pemerhatian keadaan jet pejuang dilaporkan baik. Turut kelihatan beberapa jurutera berada bersama pesawat sejurus selepas pendaratan bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
Terdahulu, bunyi dentuman kuat yang kedengaran di beberapa kawasan sekitar Sepanggar dan Kota Kinabalu mencetuskan tanda tanya orang awam sehingga ada yang berkongsi pengalaman mereka di media sosial.
Difahamkan hingga kini, jet pejuang berkenaan masih berada di kawasan Terminal 2 KKIA sambil dipantau pihak berkaitan.
Hingga kini, masih belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak TUDM berhubung kejadian itu. - 20 Mei, 2026
The post Jet pejuang TUDM jenis F/A-18D mendarat cemas di KKIA appeared first on Scoop.





