Alasan kerajaan batal Sambutan Hari Peneroka Felda tidak munasabah - Wan Ahmad Fayhsal

LocalPolitics
30 Jun 2026 • 11:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Alasan kerajaan batal Sambutan Hari Peneroka Felda tidak munasabah - Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal

SHAH ALAM – Alasan kerajaan membatalkan Sambutan Hari Peneroka Felda 2026 Peringkat Johor bagi mengelakkan penyalahgunaan jentera kerajaan ketika musim pilihan raya adalah tidak munasabah.

Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, sambutan berkenaan telah dirancang lebih awal, malah tarikh penganjurannya pada 20 dan 21 Jun lalu bukan dalam tempoh rasmi kempen pilihan raya negeri.

"Sudah pastinya berita ini menghampakan peneroka-peneroka Felda yang ternanti-nanti hadiah atau pengumuman dari kerajaan kepada mereka.

"Tidak timbul isu salah guna jentera kerajaan untuk tujuan pilihan raya. Jika ingin dibandingkan, lebih salah pihak kerajaan menggunakan jentera kerajaan untuk program parti.

"Contoh terbaharu adalah siaran langsung 'Ceramah Umum Pakatan Harapan: Keadilan Untuk Bangsa Johor’ pada 15 Jun menggunakan RTM, sebuah jabatan milik kerajaan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Terdahulu Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam penjelasannya terhadap soalan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, beliau menegaskan tidak pernah mengeluarkan arahan membatalkan program itu yang dijadualkan berlangsung di Kluang, Johor.

Anwar menjelaskan, kerajaan juga tidak pernah menghalang pelaksanaan program di kawasan Felda termasuk oleh kerajaan negeri selagi tidak melibatkan penggunaan jentera kerajaan Persekutuan untuk tujuan berkempen semasa pilihan raya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan negeri bebas menganjurkan program di kawasan itu namun penggunaan jentera kerajaan termasuk jentera agensi bagi tujuan kempen adalah tidak dibenarkan mengikut peraturan pilihan raya.

Dalam pada itu Wan Ahmad Fayhsal berkata, Felda merupakan antara penyumbang penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menerusi sektor agrokomoditi dan keputusan membatalkan sambutan itu disifatkan sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap warga peneroka.

"Maka pembatalan Sambutan Hari Peneroka FELDA 2026 Peringkat Negeri Johor adalah satu pengkhianatan kepada peneroka Felda.

"Peneroka Felda perlu hukum Pakatan Harapan (PH) diatas pengkhianatan ini," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved