
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Dalam minggu ini sahaja, pelbagai isu hangat yang mendapat perhatian pengguna media sosial.
Selain isu banjir di Hatyai serta Ribut Tropika Senyar yang melanda negara, kes melibatkan ahli perniagaan Albert Tei turut menjadi bualan hangat.
Segalanya bermula apabila usahawan tersebut membongkar maklumat mengejutkan dengan mengaitkan Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam skandal perlombongan di Sabah.
Malah, Albert mendakwa dia memberikan wang RM629,000 kepada Shamsul serta turut membayar pengubahsuaian rumah yang didiami Shamsul selain memberi wang yang diminta oleh bekas setiausaha tersebut ketika berada di luar negara.
Ekoran itu, Shamsul mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 November lalu.
Isu ini nyata mendapat perhatian ramai termasuklah bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang menggesa agar Perdana Menteri mengambil tindakan dan melakukan siasatan menerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Baca Artikel Berkaitan: Shamsul Iskandar Letak Jawatan Setiausaha Politik Kanan PM
Albert Tei Dibawa Pulang Ke Rumah Selepas Ditahan Di Kediamannya Pagi Tadi
Hari ini (28 November), orang ramai dikejutkan dengan dakwaan Albert ditahan oleh SPRM di kediamannya yang terletak di Puchong, Selangor pagi tadi.
Walau bagaimanapun, ahli perniagaan itu dibawa pulang semula ke rumahnya selepas ditahan bagi membantu siasatan kes.
Perkara tersebut disahkan oleh peguam yang mewakili Albert, Zaid Malek. Difahamkan, Albert dibawa masuk ke kediamannya dalam keadaan tangan bergari.
Zaid menjelaskan dia mendapat berita perkhabaran Albert yang dibawa pulang ke rumah ketika sedang dalam perjalanan untuk bertemu anak guamnya itu.
“Saya belum menerima maklumat lanjut kerana tidak tahu status sebenar Albert pulang atau rumahnya digeledah semula,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Peguam Dakwa Pegawai Enggan Perkenalkan Diri & Tak Benarkan Jumpa Albert
Memetik Utusan Malaysia, Zaid mendakwa pegawai agensi enggan memperkenalkan diri malah tidak membenarkan dia untuk memasuki rumah atau berjumpa dengan Albert ketika serbuan dilakukan pada pagi tadi.
Malah, pegawai terlibat hanya menghampiri dirinya selepas Zaid mengambil gambar kejadian serta turut meminta untuk melihat telefon dan gambar yang dirakam dalam keadaan tidak wajar.
“Albert kemudian dibawa keluar dalam keadaan bergari dan dikelilingi anggota bersenjata yang memakai balaclava, seolah-olah beliau seorang pengganas,” katanya yang dipetik dari Utusan Malaysia.
Dakwa Zaid lagi, pegawai terlibat turut tidak memaklumkan identiti diri sebenar mereka sama ada pegawai polis atau SPRM sehingga dia sendiri tidak tahu ke mana anak guamnya itu dibawa.
Tindakan Penahanan Albert Langgar Hak Perlembagaan Anak Guam – Peguam
Ekoran itu, Zaid menyifatkan perbuatan tersebut sebagai pelanggaran hak perlembagaan anak guamnya termasuk hak mendapatkan khidmat guaman yang disifatkan telah dinafikan.
Malah, Zaid turut mempersoalkan tindakan yang dikenakan terhadap anak guamnya sedangkan Albert merupakan pemberi maklumat berhubung aduan rasuah.
“Tiada tindakan diambil terhadap individu yang didakwa dilaporkan, iaitu bekas setiausaha politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin,” jelasnya lagi.
Pada masa yang sama, Zaid turut mempersoalkan adakah tindakan itu mencerminkan komitmen kerajaan terhadap siasatan yang adil dan saksama seperti yang dinyatakan oleh Anwar.
Walau bagaimanapun, masih tiada kenyataan rasmi daripada SPRM atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan tersebut.
Baca Artikel Berkaitan:
Shamsul Iskandar Letak Jawatan Setiausaha Politik Kanan PM
