SPRM serbu rumah Albert Tei, peguam anggap satu pencerobohan

LocalPolitics
28 Nov 2025 • 12:16 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu kediaman ahli perniagaan Albert Tei di Puchong, Selangor, pada pagi Jumaat menggunakan waran, namun tindakan itu dipertikaikan peguamnya, Mahajoth Singh, yang menyifatkannya sebagai “satu pencerobohan” memandangkan tarikh merekodkan keterangan Albert hanya ditetapkan pada Isnin depan.

image is not available

Peguam anggap tindakan SPRM terhadap Albert Tei tak wajar

Memetik laporan daripada Sinar Harian, Mahajoth menyatakan tindakan SPRM itu bercanggah dan tidak wajar kerana Albert merupakan pemberi maklumat dalam kes dakwaan rasuah melibatkan ahli politik terkenal.

“Adakah ini cara seorang pemberi maklumat rasuah dilayan? Mengapa masuk ke rumahnya sedangkan dialah yang memberikan maklumat?
“Tindakan penguatkuasaan secara tiba-tiba ini menunjukkan dakwaan Perdana Menteri bahawa kerajaan menegakkan integriti dan proses yang betul sebagai bahan jenaka,” katanya.

image is not available

Albert Tei pemberi maklumat

Beliau menambah bahawa penggunaan kuasa negara secara songsang ini membimbangkan dan menyerang hak pemberi maklumat serta orang awam.

Albert sebelum ini mendakwa telah memberikan RM629,000 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, selepas diyakinkan wang itu boleh disalurkan kepada ahli politik di Sabah.

Beliau juga menyusun dokumen setebal lebih 300 muka surat, termasuk tangkap layar WhatsApp dan resit, bagi menguatkan dakwaannya.

Shamsul Iskandar meletak jawatan pada Selasa lalu, mendakwa terdapat percubaan untuk merosakkan imej Kerajaan Madani.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pula menegaskan bahawa keputusan itu menunjukkan Kerajaan Madani mengamalkan tahap integriti yang tinggi.

Sumber: Sinar Harian (Aisyah Basaruddin)