‘Alhamdulillah, Pak Lah Sihat’ - Nordin 

Politics
20 May 2023 • 6:18 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Nordin (kanan) memuatnaik gambar bersama Pak Lah menerusi Facebooknya hari ini. - Gambar dari Facebook Nordin Kardi

KUALA LUMPUR - Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi memaklumkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi masih berada dalam keadaan sihat.

Perkara itu dikongsikan oleh Nordin menerusi Facebook rasminya hari ini.

Menerusi hantaran itu, beliau memuat naik foto bersama mantan Presiden UMNO itu yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Lah. 

“Alhamdulillah. Beliau (Pak Lah) sihat,” katanya.

image is not available
Abdullah Ahmad Badawi

Terdahulu, mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendedahkan mengenai penyakit demensia yang dihidapi oleh Pak Lah.

Mantan Ketua Pemuda itu berkata, Pak Lah mula menunjukkan tanda kemerosotan kognitif (cognitive impairment) sejak 2009 selepas beliau bersara daripada jawatan Perdana Menteri.

Menurut beliau, pada ketika itu beliau bertanyakan pandangan keluarga mentuanya sama ada boleh berkongsi mengenai kesihatan Pak Lah kepada umum.

Dalam kenyataan berasingan, Khairy turut meminta orang ramai mendoakan kesihatan bapa mentuanya itu yang semakin merosot.

Jelas mantan Ahli Parlimen Rembau itu, Pak Lah sekiranya dilihat daripada segi luaran sememangnya berada dalam keadaan sihat, namun pemikiran dan memorinya semakin merosot.

"Ada soalan yang saya nampak dan ingin mengetahui mengenai perkembangan terkini Pak Lah. Tubuh badannya nampak sihat, Alhamdulillah, tetapi daripada segi fungsi mindanya, tahapnya semakin merosot dan berada pada tahap 'advance'.

"Jadi saya minta orang ramai untuk doakan kesihatan dan kesejahteraannya," katanya. - Getaran, 20 Mei 2023.