
SIAPA sangka, minat mendalam terhadap dunia sains yang disemai sejak kecil, akhirnya membawa seorang mahasiswa tahun akhir Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Jeli ke pentas pengiktirafan tertinggi universiti itu.
Lebih membanggakan, perjalanan Muhammad Ali-Imran Zaheruddin, 24, bukan sekadar membuahkan kecemerlangan akademik, malah membuka ruang kepadanya mengembangkan bakat dalam bidang kepimpinan, penyelidikan, inovasi dan keusahawanan.
Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Bioindustri) dengan Kepujian itu dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Siswa (AIS) 2026 UMK menerusi tiga kategori iaitu Anugerah Wira Nusantara, Ikon Kepimpinan Siswa dan Anugerah Insentif Bakat Cemerlang.
Anak kelima daripada enam beradik dari Kampung Pekan Rabu, Chenderong Balai, Perak itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,600 berserta trofi dan sijil penghargaan dalam majlis berlangsung di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa baru-baru ini.
“Pada awalnya, saya benar-benar terkejut kerana ramai lagi pemimpin mahasiswa yang aktif dan layak untuk menerima anugerah ini.
“Bagi saya, pengiktirafan ini bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi satu amanah dan motivasi untuk saya terus menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Menariknya, ketika mula melangkah ke alam universiti, pemuda yang mesra disapa Ali-Imran itu tidak pernah membayangkan dirinya akan terjun ke dunia keusahawanan kerana cita-citanya lebih terarah kepada bidang saintifik.

Pada masa sama, dia menyimpan impian untuk menjadi seorang saintis dan melanjutkan pengajian sehingga memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) dalam tempoh terpantas.
Namun sepanjang bergelar mahasiswa di UMK Kampus Jeli, peluang dan pengalaman yang diterimanya sedikit demi sedikit mengubah perspektif tersebut apabila dia mula aktif dalam kepimpinan, penyelidikan, inovasi dan keusahawanan.
“Saya sebenarnya tidak pernah membayangkan akan menceburi bidang keusahawanan ketika mula melanjutkan pengajian di universiti kerana cita-cita saya lebih terarah kepada bidang saintifik.
“Namun sepanjang berada di universiti, saya mendapat pelbagai peluang yang membuka mata dan memberi ruang untuk saya mencuba sesuatu di luar bidang akademik,” katanya.
Daripada seorang mahasiswa yang cenderung kepada sains, Ali-Imran kini turut aktif dalam perniagaan dobi layan diri, selain menjadi pengasas bersama produk minuman dan gummy probiotik inovatif KombuBites bersama rakan sepasukan di bawah bimbingan mentornya, Dr. Wan Suriyani Faliq Adeeba Wan Ibrahim.
Selain itu, Ali-Imran turut aktif menyertai pertandingan inovasi bioteknologi dan pernah membawa nama UMK ke pentas pertandingan inovasi antarabangsa.
Malah menerusi International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX) 2026, dia bersama pasukan dan pihak industri berjaya meraih pingat emas serta Anugerah ‘Best Invention Startup’.
Dalam bidang penyelidikan pula, pengalaman Ali-Imran semakin berkembang apabila dia pernah dilantik sebagai enumerator bagi geran penyelidikan Petronas di bawah bimbingan Prof. Madya Dr. Wee Seng Kew daripada Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi, UMK.
Selain itu, dia turut berkhidmat sebagai pembantu penyelidik bagi kajian nutraseutikal di bawah seliaan Prof. Madya Ts. Dr. Aida Firdaus di Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Tidak terhenti di situ, Ali-Imran juga diberi peluang memperluas pengalaman di peringkat antarabangsa menerusi pelbagai program mobiliti dan kepimpinan termasuk di Belanda, Indonesia, Arab Saudi, India dan Jepun.
Dalam tempoh pengajian di UMK Kampus Jeli, Ali-Imran turut membuktikan kemampuan menggalas amanah kepimpinan apabila pernah dilantik sebagai Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMK Kampus Jeli sesi 2024/2025.
Dia juga pernah memegang jawatan Eksekutif Pengangkutan dan Prasarana MPP UMK sesi 2024/2025, Bendahari Kehormat MPP sesi 2023/2024 serta Jawatankuasa Penilaian Aktiviti Pelajar (JPAP) sesi 2023/2024.
Dalam bidang kokurikulum dan pembangunan pelajar pula, Ali-Imran pernah menjadi Yang Dipertua Kelab Explorimba sesi 2023/2024 serta Ketua Exco Media dan Publisiti Jawatankuasa Pimpinan Kolej Kediaman bagi sesi 2022/2023.
Bagi Ali-Imran, cabaran terbesar sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin mahasiswa adalah memastikan komitmen akademik tidak terabai.
Namun katanya, cabaran itu ditanganinya menerusi disiplin pengurusan masa yang sistematik dengan menyediakan senarai tugasan harian serta menentukan keutamaan berdasarkan kepentingan dan tarikh akhir.
“Saya percaya, kepimpinan bukan tentang melakukan semuanya seorang diri. Kita perlu membina pasukan yang bertanggungjawab, saling mempercayai dan mampu melaksanakan tugasan dengan berkesan.
“Apabila tugas diagihkan dengan baik, kita bukan sahaja dapat mengurangkan beban, malah memberi peluang kepada ahli pasukan untuk berkembang,” katanya.
Di sebalik kejayaan yang diraih, Ali-Imran mengakui, bapanya menjadi sumber inspirasi terbesar dalam perjalanan hidupnya.
Bapanya merupakan pesara Tentera Darat Malaysia dan bekas anggota 21 Grup Gerak Khas (GGK), selain pernah aktif dalam sukan tinju serta angkat berat.
Malah, bapanya pernah menerima Anugerah Olahragawan Gerak Khas di Pusat Latihan Peperangan Khas.
The post Ali-Imran hebat sains, keusahawanan Ikon Siswa Universiti Malaysia Kelantan appeared first on Kosmo Digital.


