
BERDIRI di puncak menara setinggi beberapa tingkat sebelum menuruni bangunan hanya dengan bergantung pada seutas tali bukanlah tugas mudah.
Namun, itulah cabaran yang perlu ditempuhi 30 Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam Program Latihan Abseiling dan Rappelling yang berlangsung di Menara Latihan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Kelantan baru-baru ini.
Latihan yang dikendalikan lapan jurulatih berpengalaman daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu bukan sekadar menguji keberanian, malah menjadi platform membentuk mahasiswa yang berdisiplin, berkeyakinan tinggi serta mampu membuat keputusan tepat dalam situasi berisiko.
Sebelum melakukan penurunan, setiap pegawai kadet diberikan taklimat menyeluruh mengenai aspek keselamatan termasuk penggunaan harness, carabiner, tali keselamatan serta teknik kawalan badan ketika menuruni menara.
Setiap langkah dipantau rapi oleh jurulatih bagi memastikan prosedur keselamatan dipatuhi sepenuhnya.
Bagi Pegawai Kadet Palapes Darat UMK, Fakhri Isma Mohd. Yusof, 22, latihan itu menjadi pengalaman paling mencabar sejak menyertai Palapes.
Katanya, pada mulanya dia berasa gementar untuk melakukan penurunan dari tempat tinggi, namun keyakinan mula hadir selepas mendapat tunjuk ajar jurulatih.
“Apabila berjaya menjejakkan kaki ke bawah, saya rasa sangat puas kerana berjaya mengatasi ketakutan sendiri.
“Latihan seperti ini mengajar saya supaya sentiasa tenang, berani membuat keputusan dan yakin dengan kemampuan diri,” katanya kepada K-Kampus.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Keusahawanan itu berkata, dia memilih menyertai Palapes bukan sahaja kerana minat terhadap bidang ketenteraan, malah mahu membantu meringankan beban kewangan keluarga menampung pengajiannya melalui elaun yang disediakan.
Bekas pelajar Maahad Tahfiz Al-Fadhni, Hulu Langat yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran itu juga percaya disiplin tinggi diterapkan dalam Palapes mampu menjadi bekalan berguna untuk masa depan.
Seorang lagi pegawai kadet, Muhammad Fawwaz Solihin Mohd. Ridzuan, 21, berkata, minat terhadap dunia ketenteraan bermula sejak di bangku sekolah sebelum disambung apabila melanjutkan pengajian di UMK Bachok.
Katanya, penyertaannya dalam Palapes banyak mengubah sikap dan meningkatkan keyakinan diri.
“Saya kini berada dalam fasa latihan berterusan yang melibatkan simulasi di hutan seperti menggali kubu, berkawal pada waktu malam serta latihan survival secara berkumpulan.
“Kami juga mengikuti latihan renang bagi meningkatkan kemahiran dan ketahanan fizikal sebagai seorang pegawai kadet,” katanya.
Menurut pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif itu, setiap modul latihan memberi pengalaman baharu yang sukar diperoleh di bilik kuliah.
Selain latihan abseiling, katanya, Palapes UMK turut melaksanakan pelbagai modul pembangunan pegawai kadet termasuk kawad kaki, latihan taktikal, kecergasan fizikal, pengendalian senjata, kepimpinan, komunikasi serta ekspedisi lasak.
“Gabungan latihan akademik dan ketenteraan itu menjadikan Palapes bukan sekadar sebuah pasukan beruniform di universiti, malah medan membentuk mahasiswa yang berdaya tahan, berintegriti serta bersedia menyahut cabaran sebagai pemimpin masa depan negara.
“Program di BBP Bachok pula membuktikan kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dan agensi penyelamat mampu melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki keberanian, disiplin dan semangat patriotisme tinggi,” katanya.
The post Menara bomba jadi medan uji kepimpinan Palapes UMK appeared first on Kosmo Digital.
