
KUALA LUMPUR – Malang tidak berbau buat selebriti serba boleh, Alif Satar apabila mengalami kecederaan kaki kanan akibat terjatuh ketika menyertai perlawanan bola sepak tujuh sebelah (7’s) yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, kelmarin.
Alif atau nama penuhnya Muhammad Alif Mohd. Satar, 34, berkata, kecederaan itu berlaku selepas dia diterjah pemain lawan dan terdengar bunyi seperti sesuatu patah sebelum terduduk menahan kesakitan.
Menurut penyanyi, pelakon dan pengacara terkenal itu, insiden berkenaan menjadi detik yang sukar dilupakan dalam hidupnya.
Malah, beliau turut berkongsi pengalaman manis apabila legenda Manchester United, Ryan Giggs yang turut bermain dalam perlawanan tersebut, sempat datang menziarahinya dan bertanya khabar selepas kejadian.
Dalam pada itu, Alif turut menzahirkan rasa syukur apabila dibantu oleh bekas pemain bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim yang memantau keadaannya di tepi padang.
Walaupun sering aktif dalam sukan dan aktiviti lasak, Alif kini meluahkan kebimbangan sekiranya kecederaan yang dialami mengambil masa panjang untuk pulih sepenuhnya.
Beliau dijadualkan menyertai acara larian bertaraf antarabangsa, Berlin World Majors Marathon di Jerman pada 21 September depan yang dinanti-nantikan oleh pelari seluruh dunia.

