Aliff Syukri sangka didenda RM200,000 kerana lagu 'Kelepuk Raya'

LocalEntertainment
27 Aug 2025 • 5:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Aliff Syukri (tengah) akui terkejut selepas dibebaskan Mahkamah Sesyen Sepang daripada empat pertuduhan video sumbang lagu raya.

SEPANG - Penyanyi lagu raya kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman mengakui terkejut selepas Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu melepaskan dan membebaskannya daripada empat pertuduhan memuat naik video sumbang sempena Aidilfitri, tiga tahun lalu.

Usahawan kosmetik berusia 38 tahun itu berkata, beliau menyangka akan dikenakan hukuman denda maksimum RM200,000 kerana peluang untuk dibebaskan dilihat amat tipis.

“Ketika tiba di mahkamah pagi tadi, saya agak beremosi sebab menyangka akan kalah selepas mahkamah mendapati saya bersalah atas semua pertuduhan.

“Syukur Alhamdulillah, saya gembira sangat, tetapi selepas ini saya akan beri versi yang lebih baik dalam lagu raya baharu,” katanya.

Mengulas lanjut, Aliff Syukri berkata, pengalaman ‘turun naik’ mahkamah sepanjang tiga tahun lalu memberi tekanan besar terhadap hidupnya.

Katanya, beliau berdepan kecaman hebat, mengalami kesukaran tidur dan hampir berputus asa, namun keputusan mahkamah hari ini dianggap kemenangan luar biasa hasil usaha barisan peguam bela.

Sementara itu, peguamnya, Hasshahari Johari Mawi berkata, keputusan pembebasan dibuat susulan perubahan undang-undang dalam kes lain yang diputuskan Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

“Mahkamah ini tidak mempunyai pilihan selain menghormati dan mematuhi keputusan tersebut,” katanya.

Pada Rabu, Hakim Ahmad Fuad Othman memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan Aliff Syukri daripada semua pertuduhan berkenaan.